Friday, 19 March 2021

MEMAHAMI MAKSUD SEBENAR TAWAKAL

Satu perkataan sering disebut ialah ‘tawakal’. Perkataan tawakal berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud bergantung harap atau berwakil. Jadi, jika kita menyebut tawakal, bermaksud bergantung harap hanya kepada Allah.

Walaupun Islam mendidik umatnya dengan konsep tawakal, namun tidak pula bermakna disuruh agar hanya berserah kepada nasib semata-mata. Kita perlu berusaha untuk mendapat apa yang dihajati.   

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah berazam (bersetuju sesudah bermesyuarat untuk sesuatu urusan), maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal. (Surah Ali Imran, ayat 159)

Ini bermakna kita perlu terlebih dahulu berusaha dan menentukan apa yang ingin dilakukan, maka barulah bertawakal. Usaha adalah satu keperluan untuk mencapai apa yang diingini. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bertawakallah engkau kepada Allah, Tuhan yang Maha Hidup (Kekal) yang tidak mati dan bertasbihlah dengan memuji-Nya." (Surah al-Furqan, ayat 58).

Sesungguhnya kita tidak dibenarkan bergantung harap kepada nasib semata-mata. Banyak individu yang apabila ditegur atau ditanya mengapa tidak berusaha, maka dijawabnya kerana bertawakal dan mengharapkan sepenuhnya kepada qada dan qadar. Mereka mendakwa menerima apa saja yang ditentukan terhadapnya.

Sifat tersebut sebenarnya bukan tuntutan agama. Memang kita dikehendaki menerima qada dan qadar, tetapi tidap pula hanya berserah kepada nasib semata-mata. Kita perlu berusaha dan melakukan apa yang sepatutnya untuk mencapai apa yang diingini. 

Memang, kita diingatkan supaya bertawakal, yakni berserah kepada Allah SWT. Arahan itu adalah untuk menegaskan bahawa tidak ada lebih berkuasa kecuali Allah SWT.

Lalu, kita tidak perlu mengharapkan kepada mana-mana kuasa lain seperti yang diamalkan oleh bukan Islam. Bukan Islam meletakkan kepercayaan dan harapan kepada objek atau kuasa selain Allah SWT.

Sebab itu, soal tawakal kepada Allah SWT banyak kali dinyatakan dalam al-Quran, termasuk dalam ayat ke 122 surah Ali Imran yang bermaksud: "Dan hanya kepada Allah sahajalah orang mukmin itu bertawakal."

Hakikatnya, tawakal adalah pintu yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Dengan bertawakallah seseorang itu akan sentiasa mengharapkan rahmat, kasih-sayang dan pertolongan Tuhannya. Kerana itu, tawakal adalah tanda seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah aman mereka dan kepada Tuhan merekalah mereka bertawakal. (Surah al-Anfal, ayat  2).

No comments:

Post a Comment