Jika dilakukan dengan konsisten dan harapan mendapatkan keredaan-Nya, ia akan menghasilkan satu kekuatan luar biasa untuk menghadapi godaan hawa nafsu. Menentang nafsu untuk menunaikan fardu solat pada waktu ditetapkan menjadi asas teguh bagi kesempurnaan diidamkan.
Sesungguhnya jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu. Umpamanya, untuk menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang.
Seandainya sasaran untuk dicapai oleh jiwa manusia itu ialah keadaan di mana mereka mencintai kebaikan, merasai kelazatannya dan membenci kejahatan serta mengejinya, maka ia memerlukan perjuangan yang kental untuk mencapainya.
Firman Allah SWT: "Kamu wahai orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang yang tetap menurut jalan yang lurus." (Surah al-Hujurat, ayat 7)
Sifat hawa nafsu perlu dikawal, disekat dan ditentang. Keadaannya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Di sana terdapat pelbagai sifat manusia antaranya cintakan diri, wanita, harta, nama dan kemasyhuran. Ini adalah contoh jenis naluri yang kebiasaannya dimiliki manusia.
Ada yang mencintai dirinya dan tidak lagi mahu melihat orang lain. Ada pula sangat mencintai harta kekayaan, malam dan siang bertungkus-lumus mengumpulkan harta. Walau bagaimanapun, tamaknya kepada harta itu bukan untuk membelanjakannya seperti tuntutan agama.
Seseorang itu tidak akan berjaya dalam pertarungan jihadnya melainkan apabila dia melatih dirinya menentang hawa nafsu dan berjalan terus menuju jalan yang lurus dalam keadaan sabar serta tabah.
Allah SWT mendedahkan ramai yang apabila hati mereka diselaputi karat hawa nafsu maka segala pancaindera mereka diselubungi selaput-selaput sehingga mereka tidak dapat melihat dan mendengar selain apa yang keluar dari hatinya yang diselaputi hawa nafsu itu.
Firman Allah SWT: "Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?" (Surah al-Furqan, ayat 43)
Ulama memberi kita bimbingan untuk menghalang diri terjebak dengan pengaruh hawa nafsu dan antara saranan mereka ialah memperkuatkan rasa takut kepada Allah SWT serta selalu mengingati seksaan Allah di akhirat kelak.
Meninggalkan segala sebab yang membuatnya terjatuh kembali kepada hasutan hawa nafsu, menjarakkan rakan yang tidak baik, menjauhi tempat menjerumuskannya kepada hasutan nafsu, menyibukkan diri dengan zikrullah, membaca al-Quran dan mendekatkan diri dengan majlis ilmu.
Sesungguhnya takwa hasil hidayah daripada mujahadah atau perjuangan melawan hawa nafsu. Orang Mukmin ialah orang bijak yang sentiasa mengawasi hawa nafsu supaya tidak terpesong dari jalan kebenaran dan berusaha mencari jalan untuk menambahkan cinta Allah SWT kepadanya.
No comments:
Post a Comment