Saturday 6 February 2021

RUGI BIARKAN BUAH RANUM

Semua jenis buah akan gugur dengan sendiri apabila telah betul-betul matang atau ranum. Banyak kes pula tidak menjadi rezeki penanam pokok itu apabila ia menjadi habuan binatang yang berminat dengan buah yang sudah matang atau ranum. Selain itu, tidak ada rezeki disebabkan kena curi.

Sebab itu, kalau buah sudah matang, eloklah dikait, diambil atau dipetik buahnya. Lainlah kalau jenis buah yang kena tunggu gugur seperti durian dan jenis buah-buah tertentu yang sifatnya kena tunggu gugur.

Contoh buah yang perlu segera diambil ialah buah pisang. Buah pisang matang boleh dikenali dengan buahnya sudah bertukar warna menjadi lebih gelap berbanding sebelumnya.

Ada juga yang menjadi warna semakin cerah. Juga boleh dikenali buah sudah matang apabila putih di bahagian hujung telah gugur. Jenis lain pula berdasarkan buah telah kelihatan ‘bulat’ mengurangkan nampak ‘segi’ ketika mula-mula buah keluar.

Dengan kata lain pengecaman berbeza-beza mengikut jenis. Jadi, pengalaman menjadi ‘guru’ paling berharga untuk menentukan buah pisang telah matang.

Jika buah dibiarkan masak di pokok, ia akan bermula dengan buah yang berada di sikat paling atas atau dipanggil pisang tadah embun. Ia akan diikuti buah di sikat yang bawah. Buah pisang dibiarkan masak di pohon lebih sedap dan manis.

Kadar masa untuk keseluruhan buah masak dipokok untuk satu tandang bergantung kepada jenis pisang. Ada yang mengambil masa sehingga 10 hari dan ada sekadar dua atau tiga hari sahaja.

Antara jenis pisang yang mengambil masa lama untuk masa keseluruhan satu tandang ialah pisang kebatu. Manakala paling cepat (berdasar pemerhatian) ialah pisang serendah.

No comments:

Post a Comment