Syarikat Atomy Malaysia Sdn Bhd dikenakan tindakan penyitaan
aset bagi memenuhi tuntutan kos mahkamah sebanyak RM70,000. Tuntutan tersebut
adalah bayaran kepada Firdaus Wong Wai Hung selepas kes saman fitnah
dimenanginya. Tindakan penguatkuasaan dibuat pada 7 April 2026 selepas arahan
bayaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak dipatuhi oleh pihak syarikat.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Disember 2025
memutuskan Atomy Malaysia Sdn Bhd gagal dalam saman fitnah terhadap penceramah
bebas, Firdaus Wong, berkaitan dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam
kegiatan kristianisasi pada 2020 dan 2021.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan
demikian selepas menolak saman yang difailkan syarikat itu selaku plaintif
terhadap Firdaus Wong Wai Hung, sebagai defendan.
Sebelum ini, plaintif yang mempunyai 1.6 juta ahli,
merangkumi 960,000 pengguna dan 640,000 pengedar, memfailkan saman terhadap
Firdaus, 42, atas dakwaan beliau membuat enam hantaran berunsur fitnah.
Plaintif mendakwa kenyataan defendan merujuknya sebagai
sebuah syarikat Kristian yang berpegang kepada fahaman ekstremisme agama serta
menggalakkan penganutan kristianisasi di Malaysia menerusi slogan ‘Business as
a Mission’.
Syarikat itu juga mendakwa kenyataan pencemaran tersebut
membawa maksud yang jelas untuk mengaitkan plaintif dengan amalan penyebaran
kristianisasi melalui perniagaan kepada komuniti dan pengguna di negara ini.
Berdasarkan dokumen diperoleh, plaintif merupakan sebuah
syarikat pemasaran pelbagai peringkat (multi-level marketing) yang terlibat
dalam perniagaan dalam talian bagi produk kosmetik, kesihatan dan barangan isi
rumah menggunakan jenama ‘Atomy’.
Defendan pula merupakan pengasas sebuah badan bukan kerajaan
(NGO) dikenali sebagai Multiracial Reverted Muslims (MRM) yang sering
membincangkan isu sensitif dan kontroversi berkaitan agama menerusi platform
Facebook.

No comments:
Post a Comment