Wednesday 16 October 2024

ARBORIS, DOKTOR PAKAR TUMBUHAN BERKAYU

 
Arboris adalah pakar tumbuhan berkayu yang berperanan memantau kesihatan pokok, terutama di kawasan bandar. Khidmat mereka diperlukan untuk melakukan audit pokok-pokok tua bagi memastikan kesihatan pokok dan mengenal pasti keadaan terkini pokok.
 
Kejadian pokok tumbang mungkin tidak dapat dielakkan jika tanda-tanda kecacatan serta kecederaan pokok berkenaan boleh dikesan awal oleh arboris.
 
Malaysia berkembang pesat dan peningkatan penduduk bandar dan mereka terdedah kepada risiko pokok tumbang di sekitar kawasan bandar terutamanya bila berlaku hujan lebat dan angin kencang.
 
Kebanyakan pokok tumbang disebabkan akar mereput, namun ia boleh dielakkan jika penjagaan rapi dijalankan dengan mengelakkan kecederaan pada akar semasa melakukan kerja-kerja berhampiran pokok seperti pengorekan tanah.
 
Arboris memainkan peranan penting sebagai ‘doktor pokok’ yang dapat membantu mengelakkan kegagalan struktur dan mengurangkan risiko pokok tumbang jika masalah itu dikesan lebih awal.
 
Bidang arborikultur ini masih baharu di Malaysia, walaupun sudah lama diperkenal di Barat dengan amalan terbaik yang lengkap. Di negara kita, arborikultur hanya diperkenalkan pada tahun 1995. Kemudian pada 2005, barulah ada arboris bertauliah yang pertama disijilkan.
 
Arboris bertauliah mendapat sijil daripada Pertubuhan Arborikultur Antarabangsa (ISA) berpangkalan di Amerika Syarikat.  
 
Amalan audit merupakan perkara yang baik untuk kita laksanakan, tetapi Malaysia masih kekurangan arboris.
 
Selain kekurangan arboris, kepakaran mereka juga perlu disesuaikan dengan realiti ekosistem tempatan. Modul ISA adalah lebih tertumpu kepada spesies pokok di barat berbanding spesies pokok yang tumbuh dalam iklim Malaysia, yang memerlukan penjagaan yang berbeza.
 
Banyak aspek yang perlu diteliti termasuk spesies pokok yang terlibat yang disyaki bukan berasal dari spesies tempatan.
 
Banyak perkara baharu yang masih perlu diteliti di Malaysia antaranya aspek spesies pokok. Jika dilihat dalam kes-kes pokok tumbang yang berlaku kawasan bandar utama di Malaysia melibatkan spesies pokok yang bukan berasal dari dalam negara.
 
Sejarahnya pokok-pokok ini dibawa masuk oleh British sebelum merdeka dan sebelum tahun 1900 telah mula ditanam. Maka, kita tidak tahu segi genetik dan ketahanan pokok-pokok yang terlibat.
 
Kesihatan pokok perlu dijaga termasuk sentiasa memeriksa pokok bagi menentukan tahap kesihatan dan kesuburan dalam keadaan baik dan selamat.

No comments:

Post a Comment