Melayari bahtera perkahwinan tidak semudah
disangka. Bergelar isteri atau suami bermakna tanggungjawab berat sudah sedia
menanti.
Pun begitu banyak pasangan ingin berkahwin hanya sibuk memikirkan persiapan majlis perkahwinan yang mahu segala-galanya dilihat sempurna. Berhabis puluhan, malah ratusan ribu tidak menjadi soal asalkan majlis perkahwinan nampak gah dan hebat.
Pasangan yang ibu bapa kaya raya bertaraf jutawan dan mereka sendiri mempunyai kerjaya yang baik, isu wang untuk majlis perkahwinan tidak menjadi soal. Masalah timbul kepada pasangan tidak berkemampuan, tetapi ingin majlis yang meriah sehingga sanggup berhutang.
Sehinggalah selepas berkahwin, masing-masing sibuk pula merancang membeli kediaman mahu kenderaan yang lebih besar untuk keselesaan. Pada masa sama, pasangan mengadakan majlis perkahwinan dengan cara berhutang terpaksa menanggung beban hutang dalam tempoh masa lama.
Majlis perkahwinan bukan penentu kepada bahagia atau tidak sesuatu perkahwinan. Ia sekadar adat dan kehendak yang banyak dipengaruhi budaya serta kehendak kerana ingin bermegah dan tidak mahu kalah dengan majlis diadakan keluarga lain. Meriah dan rasa bangga hanya sekejap, sedangkan cabaran dalam rumah tangga berterusan dalam tempoh masa yang panjang.
Akibat kerana kurang persefahaman rumah tangga berdepan masalah. Antara puncanya kerana banyak pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan tanpa memahami erti perkahwinan itu sendiri.
Individu yang ingin berkahwin perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran, kemampuan ekonomi, kesihatan fizikal dan mental yang berkaitan dengan perkahwinan, keibubapaan serta kekeluargaan.
Perkahwinan adalah perkongsian hidup dua individu yang berlainan. Sesuatu yang digemari oleh seseorang itu mungkin tidak disukai oleh pasangannya. Jadi mereka yang bakal berumah tangga harus sedar bahwa ada perkara yang harus diterima dan ada perkara yang harus diubah.
Dalam erti kata lain, mereka harus bersedia untuk menerima kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing di samping mengubah cara hidup sendiri. Keharmonian hidup berumah tangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat.
Rumah tangga yang baik dan harmoni ini sukar diperoleh tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga.
Justeru, para suami supaya memahami sebenar tabiat dan cita rasa isteri dalam kehidupan seharian, begitu juga sebaliknya.
Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumah tangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya.
Di dalam rumah tangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini serta mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumah tangga yang memerlukan kasih sayang, kerjasama dan saling bantu membantu.
Kebahagiaan sebuah rumah tangga bukan dinilai dari mata kasar tetapi dari perasaan sayang menyayangi dan persefahaman antara satu sama lain.
Bukan sekadar rupa sahaja diutamakan, tapi sikap bertolak ansur dan faham memahami itu lebih penting. Peranan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri itu penting bagi mewujudkan keluarga bahagia.
Sebelum mendirikan rumah tangga, pemilihan pasangan yang bersesuaian perlu dititik berat agar tiada masalah yang timbul setelah bergelar suami isteri.
No comments:
Post a Comment