Friday 25 February 2022

Program berkhatan kanak-kanak kepulauan delta Kelantan

 
Cuti sekolah panjang banyak diisi dengan pelbagai program melibatkan pelajar. Paling kerap diadakan ialah program bersunat atau berkhatan. Berkhatan perlu dilaksanakan ketika cuti sekolah panjang bagi memastikan anak dikhatankan benar-benar sembuh sebelum menyambung kembali persekolahan.

Cuti sekolah kali ini, satu program bersunat melibatkan kanak-kanak di Kepulauan Delta Kelantan Sebelah Tumpat diadakan.

Program Sunathon Amal Asnaf 2022 dianjurkan oleh Pertubuhan Asnaf Kelantan melibatkan 29 kanak-kanak dari kawasan kepulauan.

Program yang diadakan di Seri Tanjung, Teluk Renjuna itu adalah anjuran bersama dengan Pertubuhan iKasih Kelantan dan Pertubuhan 3rd FORCE Kota Bharu.

Program yang bertujuan membantu penduduk kepulauan mengkhatankan anak yang telah ‘sampai’ masa disunatkan, turut mendapat kerjasama dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, Jawatankuasa Masjid Mukim teluk Renjuna, Persatuan Pencinta Seni Busana Kelantan dan beberapa pihak lain yang memberi sumbangan secara langsung dan tidak langsung untuk menjayakannya.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria.

Kanak-kanak berkumpul di Masjid Mukim Teluk Renjuna diarak menggunakan bot diiringi paluan gendang dan tiupan serunai sejauh kira-kira satu kilometer. 

Ketibaan kanak-kanak bersama keluarga di Jeti Seri Tanjung disambut barisan 'pendekar' dari Persatuan Pencinta Seri Busana Kelantan dengan tiupan tetuang, seterusnya diiringi ke dewan tempat perasmian. 




No comments:

Post a Comment