Sunday 20 June 2021

CERITA PERISTIWA BUKIT KEPONG

Tan Sri Datuk Sri J.J Raj Jr, bekas Ketua Polis Pagoh ketika Peristiwa Bukit Kepong pada 23 Febuari 1950.

Tan Sri Dato Sri J.J Raj Jr. bercerita tentang Peristiwa Bukit Kepong.

Pada 22 Februari (1950) saya telah melawat Balai Polis Bukit Kepong bersama 10 anggota.

Kami bertolak daripada Balai Polis Daerah Pagoh menuju Balai Polis Lenga dengan cara menaiki kenderaan. Masa yang kami ambil antara satu hingga dua jam.

Pernah terjadi dalam pertengahan jalan ketika kami ke Lenga, berlaku serang hendap daripada pihak komunis. Sebab itu kita sentiasa berwaspada.

Apabila sampai di Balai Polis Bukit Kepong saya menemui Allahyarham Sarjan Jamil Mohd. Shah dan anggota-anggotanya serta tidak ketinggalan Tok Penghulu kawasan tersebut. Tok Penghulu Bukit Kepong pada masa itu bernama Penghulu Ali.

Kami kemudian makan tengah hari bersama dan kemudian saya melakukan rondaan di Pekan Bukit Kepong bersama Sarjan Jamil, Penghulu Ali dan beberapa orang mata-mata dengan menggunakan basikal.

Pekan Bukit Kepong tidak besar. Di sini terdapat kita-kira 30 buah kedai yang para peniaganya terdiri daripada orang Cina.

Dari segi komposisi penduduk pula saya anggarkan penduduk Melayu lebih kurang 1,300 dan mereka tinggal di kampung-kampung.

Tepat pukul pukul 4.30 pagi (23 Februari), pengganas komunis telah meniup trompet buat kali pertama dan mereka telah melepaskan tembakan ke arah Balai Polis Bukit Kepong.

Sebaik sahaja menyedari balai telah diserang, Sarjan Jamil dan semua anggota yang kesemuanya berjumlah 20 orang mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan balai untuk berbalas tembakan.

Tembak menembak berlaku sehingga pukul 6.30 pagi. 180 orang komunis yang melakukan serangan ini dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding 20 orang kita cuma dilengkapi dua pucuk senjata automatik.

Jika hendak dibandingkan kekuatan anggota, kekuatan komunis adalah tujuh kali ganda lebih daripada kekuatan polis.

Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal memasuki balai walaupun telah melakukan serangan selama dua jam.

Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis telah meniup trompet untuk kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta merta.

Kemudian salah seorang anggota komunis yang bernama Mat Indera dengan menggunakan pembesar suara telah meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat.

Mat Indera berkata demikian sebanyak tiga hingga empat kali.

Saya masih ingat jawapan Sarjan Jamil: “Jangan bimbang tuan OCPD, kita akan jaga, biar putih tulang jangan putih mata”.

Ketika ayat ini diungkapkan saya kurang faham dan saya mula faham selepas peristiwa ini berlaku.

Sebenarnya semasa kita meronda pada petang 22 Februari terdapat 180 pengganas komunis telah mula mengepong di belakang balai polis. Kita tidak nampak kerana kawasan tersebut merupakan kawasan hutan.

Tan Sri J.J mengingati kata-kata terakhir kepadanya: "Biar putih tulang jangan putih mata."

Tan Sri JJ Raj meninggal dunia pada 6 Nov 2021 pada usia 100 tahun. Mendiang yang berasal dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis, sewaktu era darurat pada tahun 1950. 

Pada tahun 1974 mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis. 

Sepanjang perkhidmatan dalam PDRM, mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Polis Daerah Pagoh (1950), Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (1954), Ketua Polis Daerah Kulim (1955), Ketua Polis Daerah Segamat (1957) dan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan (1959).

Mendiang juga pernah dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Pahang (1961), Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu (1964), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1969) dan Ketua Polis Selangor (1973) serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman (1974) sebelum bersara dua tahun selepas itu.

Selepas bersara, mendiang membabitkan diri secara aktif dalam sektor korporat, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan persatuan sukan.

Gambar:  Lawatan ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, ketika menjadi Ketua Polis Petaling Jaya.

No comments:

Post a Comment