Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon
pertolongan Allah. Terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh
Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak
pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa
pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka
terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Hadis riwayat
Tirmizi)
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya
adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang
tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah SWT
datang membantu.
Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa,
insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk
kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam
keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi.
Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah
SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan
kepada manusia tidak terlepas begitu saja.
Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita,
marilah kita menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang
mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa
berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu
tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah Fussilat, ayat 46)
Allah SWT telah memuji para hamba-Nya yang gemar
beristighfar, terutama pada waktu-waktu mulia dan istimewa. Sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang sabar, yang benar, yang tetap taat,
yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun di waktu
sahur.” (Ali-Imran: 17)
Selain berdoa kita perlu berusaha. Firman Allah SWT
bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." - (Surah
ar-Rad, ayat 11).
Keterangan-keterangan daripada al- Quran dan hadis-hadis memperlihatkan
bahawa Allah mengharapkan agar setiap hamba itu berdoa kepada-Nya, dalam setiap
keadaan, ketika kaya, mewah, juga ketika dalam kesusahan, kerana berdoa itu
merupakan otak ibadah.
Allah SWT menjanjikan kemakbulan setiap doa. Namun demikian andainya doa
seseorang itu masih tidak dikabulkan, sakit yang dideritai tidak sembuh-sembuh,
biarpun puas berubat, hutang semakin banyak biarpun usaha bisnes dilakukan
bersungguh, ini tidak bermakna Allah SWT itu memungkiri janji-janji-Nya.
Ada rahsia-rahsia di sebalik ketentuan qada dan qadar yang perlu difahami
untuk dijadikan pegangan dalam usaha melenyapkan rasa kecewa.
Andainya seseorang itu mengetahui rahsia qada dan qadar, sudah pasti dia
menerima apa saja yang ditentukan oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment