Friday 9 June 2023

APA MAKSUD ISI DURIAN KUCING TIDUR

 
Dalam sebiji durian ada beberapa pangsa. Dalam satu pangsa ada satu atau lebih ulas isi durian. Kalau dalam pangsa ada satu ulas isi sahaja, ia dipanggil isi durian kucing tidur. Dinamakan sedemikian kerana bentuknya seakan kucing sedang tidur.
 
Isi durian kucing tidur dalam dialek Kelantan ia dipanggil isi “kopek”. Perkataan “kopek” bermaksud payudara wanita atau buah dada wanita.
 
Penggemar durian suka isi durian kucing tidur kerana isinya lebih banyak dan tebal. Lebih-lebih lagi jika bijinya kecil.
 
Pangsa durian? Ramai tidak tahu tentang pangsa durian. Yang biasa disebut ialah rumah pangsa, yakni rumah bertingkat-tingkat dan berpetak-petak.
 
Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua, 'pangsa' adalah ruang atau petak dalam buah-buahan.
 
Durian dibelah atau dikopek, juga dicekah mengikut pangsa. Jika tidak ikut 'alur' pangsa, durian tidak dapat dicekah dengan mudah.
 
Sebab itu, amat penting mereka yang ingin membelah durian perlu tahu mencari alur antara pangsa.
 
Jika tahu teknik yang betul sebenarnya tidak sukar untuk cekah durian. Itupun bergantung kepada jenis-jenis durian.
 
Semoga dalam setiap pangsa durian yang dicekah akan ada isi durian. Ada juga pangsa durian yang hanya da isi sbesar butir kuaci!

No comments:

Post a Comment