Saturday 9 September 2023

KELEBIHAN SEMBAHYANG SUNAT SUBUH

 
Sembahyang sunat sebelum Subuh merupakan sembahyang sunat Rawatib iaitu mengiringi sembahyang fardu lima waktu. Sembahyang sunat ini didirikan bagi menyempurnakan kekurangan yang ada pada sembahyang fardu.
 
Sebab itu sembahyang ini juga dikenali sebagai salah satu solat Nafl. Dari segi bahasa, solat Nafl ( نَفْل ) bermaksud tambahan.
 
Sembahyang sunat sebelum Subuh termasuk dalam sembahyang sunat yang digalakkan (muakkad). Solat sunat subuh juga dikenali sebagai sunat Qabliyyah Subuh dan solat sunat Fajar.
 
Solat sunat sebelum subuh dilakukan sebanyak dua rakaat selepas masuk waktu Subuh atau sebelum menunaikan solat Subuh.
 
Solat ini memiliki banyak kelebihan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perkara utama yang dihitung ke atas seseorang itu adalah solatnya. Sekiranya dia menyempurnakan solatnya, maka ditulis solat itu didirikan dengan sempurna. Sekiranya tidak sempurna, Allah mengingatkan yang bermaksud, “Perhatikan adakah kamu mendapati hamba-Ku ini melakukan solat-solat sunat. Sempurnakan solatnya dengan solat-solat sunat ini. Kemudian baru dihitung zakat. Selepas itu diambil amalan-amalan berdasarkannya.“ (Hadis riwayat Ahmad)
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah kamu tinggalkan solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh, sekalipun kamu dikejar oleh kuda (walaupun kamu dikejar oleh musuh)” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi)
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Solat fajar 2 rakaat lebih baik dari dunia dan segala isinya.” (Hadis riwayat Muslim)
 
Dari Aisyah bahawa beliau berkata, "Tiada solat sunat yang paling Rasulullah SAW menjaganya melebihi dua rakaat solat fajar.” (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment