Monday 30 May 2022

PESTA KAAMATAN SELEPAS MENUAI PADI

 
Setiap tahun pada Mei adalah bulan ditunggu-tunggu oleh semua masyarakat di Sabah bukan sahaja komuniti Kadazan Dusun dan Murut (KDM), sebaliknya semua etnik yang terdapat di negeri ini.

Sepanjang bulan Mei adalah sambutan Tadau Kaamatan dengan kemuncak pada 31 Mei yang dijadikan hari cuti umum di Sabah. Pesta Kaamatan telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum sejak tahun 1960 lagi.

Fuad Stephens, bekas Ketua Menteri Sabah yang pertama ialah individu yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan diisytiharkan sebagai cuti umum.

Uniknya, pada tarikh tersebut diadakan pertandingan ratu cantik yang terkenal iaitu 'Unduk Ngadau' menjadi acara kemuncak perayaan itu.

Tadau Kaamatan ialah hari kelepasan menuai, yakni merupakan hari di mana penanam padi di kawasan Kuala Penyu telah selesai menuai padi mereka dan mengiriknya sekali.

Perkataan ‘tadau’ merupakan perkataan bahasa Kadazan Dusun bermaksud ‘pesta’. Perkataan ‘kaamatan’ berasal daripada kata dasar ‘tomot’, dalam istilah Kadazan Dusun yang bermaksud ‘tuai’.

Kaamatan merujuk kepada tempoh penuaian padi, yang melibatkan satu siri ritual tradisional.

Di kalangan masyarakat KDM, perayaan itu mengingatkan mereka akan rasa penghargaan dan penghormatan kepada Kinorohingan yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya, Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Pesta Kaamatan merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambarayon" iaitu semangat padi.

Tadau Kaamatan juga merupakan perayaan kesyukuran. Apa pun, perjalanan masih jauh. Teruslah kekal semangat menghadapi hari-hari mendatang.

Selamat menyambut Pesta Kaamatan "Kotobian Tadau Tagazo Kaamatan".

No comments:

Post a Comment