Thursday, 29 October 2020

NAMA YANG DITEGAH DINAMAKAN KEPADA ANAK


Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan menyukai keindahan dan kebaikan. Antara keindahan itu ialah memberi nama yang baik bagi anak dan tidak mengelak nama yang mengandungi makna buruk.

Islam adalah agama kemudahan seperti yang disebut dalam firman Nya yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Justeru, Islam selalu menginginkan kemudahan meskipun hal-hal yang berkaitan dengan pemberian nama dan Islam tidak menyukai sebarang kesulitan berlaku berkaitan pemberian nama.

Dari segi akidah, Islam melarang umatnya memberi nama anak-anak mereka dengan nama-nama yang boleh menyentuh kesucian akidah tersebut seperti nama ‘Allah’, ‘Malikul Amlak’ (raja bagi segala raja) dan sebagainya.  

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda; “Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah.” (Hadis riwayat Muslim).

Selain itu dilarang menggunakan nama yang menunjukkan pengabdian atau penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya.

Menurut mazhab Syafiie, harus memberi nama dengan nama-nama Malaikat. Namun demikian, sebahagian ulama memakruhkannya. 

Berkata Qadhi Iyadh; “Telah memakruhkan sebahagian ulama memberi nama dengan nama-nama Malaikat dan ia adalah pandangan al-Harith bin Miskin. Imam Malik memakruhkan memberi nama dengan Jibril dan Ya-sin.” 

Begitu juga, dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang berkaitan dengan ‘nasib’ seperti dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW:  “Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar (mudah), Rabah (untung), Najih (berjaya) dan Aflah (berjaya). Kerana sesungguhnya jika kamu bertanya seseorang; “Apakah ada di sana (Yasar, Rabah dan sebagainya itu)?” Lalu ia menjawab; “Tidak ada”. (Hadis riwayat Muslim)

Dengan kata lain, pemilihan nama anak perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan masalah, lebih-lebih lagi perkara yang dilarang oleh agama. 


No comments:

Post a Comment