Friday, 26 January 2018

ISLAM MELETAKKAN WANITA DI KEDUDUKAN TINGGI

Islam telah meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam. Lelaki diperintahkan agar berbuat baik terhadap wanita. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” (Hadis riwayat Tarmizi). 

Rasulullah pernah mengaitkan kesempurnaan iman dengan melakukan kebaikan terhadap wanita. Hadis diriwayatkan Tarmizi dan Ibnu Hiban yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya antara kamu itu, ialah orang yang paling baik perangainya. Dan orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling baik terhadap wanita.”

Hal ini jauh sekali perbezaannya berbanding sebelum kedatangan Islam. Pada zaman Jahiliyah, wanita hanya dianggap tempat untuk melepaskan nafsu semata-mata. Di samping itu, kaum wanita juga dianggap seperti binatang. 

Masyarakat Jahiliyah menganggap anak perempuan adalah pembawa sial dan boleh menimbulkan kesusahan kepada keluarganya. Hal ini digambarkan oleh Allah dalam surah an-Nahl, ayat 58 - 59 yang bermaksud:

“Dan apabila dikhabarkan kepada seorang daripada mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan); sambil berfikir adakah ia akan memeliharan anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah. Ketahuilah, sesungguhnya jahat apa yang mereka hukumkan itu.”

Dalam masyarakat lain juga wanita mengalami nasib malang. D.C. Steyn Parve dalam bukunya ‘Bible, Quran dan Veda’ menjangkakan kira-kira 30,000 balu setahun jadi korban api di India, akibat khurafat serta sikap fanatik dan kurangnya penghayatan terhadap jiwa manusia yang bernama wanita.  

Dalam masyarakat Hindu yang masih berpegang kepada amalan khurafat, balu mesti mengorbankan diri terbakar bersama-sama mayat suaminya yang dibakar sebagai tanda cinta dan mengelak sial kepada keluarga. Masyarakat akan ditimpa bencana jika tidak melaksanakan amalan itu. 

Wanita Rom purba dikunci mulutnya dengan besi bagai anjing gila. Mereka dianggap najis, dilarang bercakap dan tertawa. Dalam banyak masyarakat, wanita yang sedang haid diasingkan dan dilayan secara hina. Mereka tidak boleh bergaul dengan orang ramai dan tidak diberikan makanan. 

Pengamal fahaman Kristian kolot, seperti John Chrijsostom pernah berkata: “Kerana perempuanlah syaitan boleh menang dan syurga jadi hilang. Dan daripada sekalian banyak binatang buas, perempuanlah yang paling bahaya.” 

Malah masih ada fahaman bangsa yang memandang hina kepada wanita. Sekiranya isteri mengandung, mereka mengharap-harapkan agar anak bakal lahir itu adalah lelaki yang dianggap pembawa tuah kepada ahli keluarga. Ibu bapa dan seluruh ahli keluarga akan kecewa jika anak dilahirkan adalah perempuan. 

Sesungguhnya Allah tidak membeza lelaki dan wanita dalam soal memberi pembalasan atas apa yang dikerjakan. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengah yang lain.” (Surah Ali Imran, ayat 195).
 
Sesiapa yang melakukan kebaikan, dia berhak memperoleh hasil apa yang dilakukan. Pembalasan yang diberikan adalah setimpal tanpa membezakan lelaki atau wanita. Kejayaan hidup tidak bergantung kepada jantina. Sekarang ini pun kita dapat lihat ramai wanita yang mencapai kejayaan melebihi lelaki. 

Firman Allah dalam surah an-Nahl, ayat 97 yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

Justeru, wanita Islam tidak harus terbawa-bawa dengan perjuangan wanita Barat.  Hukum Islam telah jelas dan tidak ada apa lagi yang perlu diubah. Perkara yang perlu difikirkan oleh wanita Islam ialah melaksanakan tanggungjawab yang membawa kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, negara dan agama. 

Jangan pedulikan pejuangan wanita bukan Islam, kerana wanita Islam mempunyai prinsip berdasarkan ketetapan agama.

No comments:

Post a Comment