Basuh kawah bukan perkara mudah. Ukuran
besar menyebabkan ia sukar untuk dibasuh. Kena pula kalau kekotoran itu banyak
melekat pada bahagian dalam. Kawah tentu dalam keadaan hitam yang jika dipegang
akan menyebabkan tangan kotor.
Sebab itu tidak banyak orang yang
menawarkan diri untuk cuci atau basuh kawah. Kadang-kadang kawah dibiarkan tidak
dibasuh beberapa hari selepas digunakan.
Di majlis perkahwinan, biasanya pengantin
lelaki akan 'diragging' membasuh kawah, siap ada orang akan mengawasi untuk
memastikan kawah betul-betul telah bersih. Tidak kena gaya boleh sampai larut
malam.
Semasa membasuh kawah kena berhati-hati.
Perlu diingat, di bahagian tepi kawah agak tajam. Jika tidak berhati-hati pasti
akan menyebabkan tangan tercedera dan berdarah. Sebab itu jika membasuh kawah
sesuai dilakukan dua orang agar mudah untuk mengangkat dan mengubah kedudukan
kawah agar boleh dibasuh di bahagian bawah.
Memandangkan kawah diperbuat daripada besi,
memang ia mudah berkarat atau ada debu-debu karat. Setelah dibasuh dan
dibiarkan kering, tambah pula dalam keadan cuaca panas, tidak sampai sejam akan
kelihatan warna perang tanda tanda ada karat.
Jadi, untuk mengelak kawah menjadi
berkarat, setelah dibasuh hendaklah disapukan minyak masak di seluruhan
bahagian luar dan dalam sebelum disimpan.
Manakala sebelum kawah digunakan semula,
elok dibasuh kawah itu dan dipanaskan dengan sedikit air. Air yang telah panas
itu kemudiannya diratakan ke seluruh bahagian dalam kawah. Air itu kemudian
dibuangkan. Tindakan itu bagi membuang debu-debu karat yang ada.
No comments:
Post a Comment