Tuesday 27 August 2024

MUHYIDDIN DIDAKWA KELUARKAN KENYATAAN MENGHASUT

 
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di FELDA Perasu, pada 14 Ogos lalu ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu, dan didapati telah menyebut perkataan menghasut antara jam 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lalu.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Berita bertarikh 27 Ogos 2024

Gambar - Sebahagian pemimpin PN yang datang di Mahkamah Seksyen memberi sokongan kepada Muhyiddin.

No comments:

Post a Comment