Pada 3 Febuari 2023, Malaysia Gazette
melaporkan penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak tahun 1995 akan
dibenarkan semula. Kabinet sehari sebelum itu telah membuat keputusan untuk
menarik balik larangan itu.
Bagaimanapun kerajaan akan mengawal dari
segi sumber penjual dan pengimportan produk berkenaan. Ia tertakluk kepada
permohonan lesen, duti import serta garis panduan dan peraturan.
Kebenaran itu berdasarkan “keperluan”
bahawa bermain mercun dan bunga api menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia. Tidak
kira Tahun Baru China, Hari Raya Aildilfitri, Deepavali dan Krismas serta perayaan
lain.
Biarpun ia diharamkan, terdapat pihak
mengaut untung dengan membawa masuk secara haram dan menggalakkan aktiviti
penyeludupan. Apabila ia dibenarkan kembali, kerajaan dapat mengawal standard
keselamatan produk, selain membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan berjumlah
jutaan ringgit setahun.
Sebelum ini arahan larangan bermain mercun
dan bunga api diputuskan kerajaan pada 1995 di bawah Akta Bahan Letupan 1957
(Akta 207).
Mereka yang ditangkap menjual bahan yang
boleh meletup tanpa permit, boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan membayar
denda RM10,000 di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.
Mengedar, menjual dan memiliki mercun juga
adalah kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh
dijatuhkan hukuman maksima lima tahun penjara atau membayar denda RM10,000 atau
kedua-duanya sekali.
Makanya, jika ada lesen
kebenaran, semua menjadi halal. Kepada yang tiada lesen semuanya haram.
Pun begitu, apa yang
dihalalkan oleh kerajaan Malaysia tidak bermakna halal di sisi agama. Aktiviti
perjudian yang ada lesen dan dianggap halal di sisi undang-undang tidak akan
bertukar status menjadi halal di sisi agama.
Bermain mercun bukan budaya
kita. Bukan amalan umat Islam. Ia dikaitkan sebagai amalan kaum Cina untuk
menghalau hantu dan mendatangkan tuah. Tentu sekali jika kita bermain mercun
untuk tujuan itu adalah ditegah oleh agama.
Tetapi banyak orang Islam
bermain mercun bukan kerana hendak halau hantu, sebalik untuk bergembira. Hari
raya hari untuk bergembira. Ya, Islam tidak halang untuk bergembira, bahkan
digalakkan. Tetapi, cara untuk bergembira itu bukan dengan sesuatu yang boleh
mendatangkan bahaya, mengganggu orang lain dan membazir.
Bermain mercun boleh dikira mencari
bala. Mungkin boleh sebabkan kecederaan dan maut. Dah ramai yang putus
jari, buta mata dan melecur. Mercun meletup di tangan. Hancur tangan dan
menyebabkan cacat kekal. Menyesal tidak guna lagi.
Sebab itu, perbuatan itu
dikira haram dan perlu dijauhkan oleh umat Islam. Berdasarkan kaedah fikah,
sesuatu yang bahaya adalah diharamkan.Islam ingin umatnya selamat dari
kecelakaan dan keburukan. Menjauhkan yang buruk itu wajib.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam
kebinasaan." (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Manakala Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada
kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Membakar mercun membazirkan
wang. Sepatutnya duit diguna untuk tujuan lain. Boleh disedekah
kepada fakir miskin, anak yatim dan orang berjihad.
Membelanjakan wang bukan pada
tempatnya satu perbuatan boros yang didorong oleh syaitan. Firman Allah
SWT: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan
syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhan.” (Surah al-Isra, ayat 27).
Berhati-hati dan
beringat-ingatlah. Banyak kes kecelakaan mercun disebabkan orang dewasa
tidak mengawai anak atau ahli keluarga masing-masing. Jangan kerana hendak
bergembira, lain pula jadinya. Tragedi mercun merosakkan kemeriahan hari
raya.
Alangkah menyesalnya atas apa yang
berlaku. Namun, yang terlanjur terjadi tidak boleh diundur lagi. Nasi
sudah jadi bubur. Nasib badan tidak fikir panjang.
Biarlah kita tidak menunaikan kehendak anak
atau saudara mara, asalkan kita tidak terjebak dengan perbuatan yang
membahayakan. Memberi anak bermain mercun samalah memberi mereka sebutir
bom.
Ikutlah ajaran Islam yang melarang kita
melakukan perkara bahaya dan membazir. Puasa melatih kita sikap
takwa. Bersih diri daripada perbuatan ditegah.
Ibadat puasa menjadikan fitrah, suci bersih. Tetapi, jika masih melakukan
amalan ditegah, bermakna ibadat puasa belum sempurna atau tidak mampu jadi
perisai atau penghalang melakukan keburukan.
Mercun tidak akan sampai ke tangan pembeli
jika tidak ada penjual. Kalau bermain mercun diharamkan agama, maka menjual
juga dikira haram. Mendapat hasil keuntungan menjual mercun adalah hasil haram.
Keuntungan berlipat ganda
menyebabkan banyak orang memilih menjual mercun. Mereka tidak fikirkan tentang
bahaya mercun. Apa yang difikirkan ialah keuntungan berlipat ganda.
Penjualan mercun masih
berleluasan disebabkan ada permintaan daripada orang ramai, khususnya
kanak-kanak. Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak masing-masing agar tidak
terlibat bermain mercun.
Kanak-kanak tidak mengerti
tentang kecelekaan. Apa yang mereka inginkan ialah kegembiraan dan mencuba
pengalaman baru. Di sinilah peranan ibu bapa dan orang dewasa memperjelaskan
kepada kanak-kanak tentang bahaya akibat perbuatan itu.
Sikap ibu bapa dan orang
dewasa yang turut bermain mercun amat memalukan. Mereka yang
lebih-lebih berbanding kanak-kanak. Perbuatan itu tentunya ditiru pula oleh
kanak-kanak.
Dalam situasi itu tidak
mungkin kita dapat mengatakan kepada kanak-kanak bahawa bermain mercun
berbahaya. Mereka sendiri melihat orang dewasa bermain mercun, jadi apa pula
salahnya mereka turut bermain.
Penyertaan semua pihak untuk
membenteras penyeludupan, penjualan dan bermain mercun perlu dilakukan secara
menyeluruh. Tugas ini bukan tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, bahkan lebih
penting di kalangan ibu bapa dan anggota masyarakat.
Kemeriahan Ramadan dan Syawal
sepatutnya disambut dengan meningkatkan ibadat dan melakukan perkara yang baik.
Ironinya, banyak di kalangan masyarakat Islam yang melakukan perkara yang
ditegah atau bertentangan dengan syariat Islam. Ajaran Islam tidak membenarkan
penganutnya melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan merugikan.
No comments:
Post a Comment