Thursday 13 June 2024

IBU BAPA ABAI ANAK BOLEH DIDAKWA DI MAHKAMAH

  
Ibu bapa atau penjaga boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
 
Pertuduhan boleh dibuat sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak yang dikaitkan, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
 
Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
 
Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik.
Ia selama apa-apa tempoh dan dengan syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.
 
Bagi menangani isu yang dilihat semakin membarah  itu, kerajaan memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)  dan dipinda pada 2016 yang antara lain menyaksikan Seksyen 31(1) (a) ditambah baik dengan hukuman dipertingkat kepada denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Peruntukan asal menetapkan denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.
 
Bagi peruntukan dalam Akta 611 ini, ia menyatakan tidak semestinya berlaku kecederaan atau kemalangan terhadap fizikal atau emosi kanak-kanak (mangsa), tetapi jika wujud kebarangkalian risiko yang bakal mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak tersebut sudah mencukupi untuk seseorang penjaga dikatakan berlaku cuai atau abai.
 
Undang-undang digubal bagi melindungi semua pihak secara adil, justeru memang wajar dan perlu ibu bapa atau penjaga didakwa di mahkamah sekiranya melakukan perbuatan yang digariskan dalam Akta 611.
 
Berdasarkan trend kes-kes yang dibawa ke mahkamah, kebanyakan kes pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak melibatkan kematian atau kecederaan kepada kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak sama sekali tidak harus ditinggalkan tanpa pengawasan walaupun di dalam rumah.
 
Dalam konteks jenayah pengabaian terhadap kanak-kanak) kepentingan awam menjadi faktor utama demi mengekang kejadian buruk atau tragedi seumpamanya diulangi oleh penjaga lain.

No comments:

Post a Comment