Thursday 27 July 2023

JAUHI SIKAP BENCI-MEMBENCI

 
Islam agama bersaudara dan berkasih sayang. Ia menjadi salah satu daripada ciri masyarakat beriman. Berkasih-sayang menjadi salah satu elemen penting dalam mencapai masyarakat madiani dalam sebuah negara.
 
Melalui berkasih-sayang juga menjadi elemen kepada matlamat tercapai tiga Objektif Syara iaitu menjaga agama, menjaga nyawa dan menjaga maruah.
 
Oleh kerana itulah Nabi kita Muhammad SAW membina pasak-pasak bernegara di Madinah dengan memulakan pembinaan masjid sebagai platform perpaduan di kalangan umat Islam.
 
Rasulullah SAW merintis perpaduan antara Aus dan Khazraj yang dijenamakan sebagai Ansar, mempersaudarakan antara Ansar dan Muhajirin dan seterusnya menggubal Piagam Madinah yang menjelaskan hubungan kewarganegaraan antara semua warganegara Madinah sama ada yang muslim dan bukan muslim.
 
Apa yang dilakukan itu perlu dicontohi dalam usaha kita membentuk masyarakat yang kuat dan membawa negara mencapai impian sebagai negara madani. Maka itu, sebarang bentuk perbuatan yang boleh mencetuskan perasaan benci-membenci perlu dihindarkan.
 
Amat malang sekali apabila demi mencapai cita-cita politik, ada di kalangan pemimpin dan ahli parti yang sanggup mencutuskan propaganda dan fitnah terhadap lawan politik. Perasaan benci-membenci disuburkan menerusi akaun-akaun palsu di media sosial.
 
Ada biro atau portfolio yang mengendalikan media sosial sebagai medan tempur melibatkan tentera siber yang dilatih dan dibayar untuk kerja-kerja propaganda dalam bentuk gerak saraf dan perang saraf. Mereka menggunakan akaun palsu demi mengelak identiti dikenali.
 
Kemuncak fenomena ini ialah apabila ada yang tergamak mendoakan pemimpin negara segera meninggal dunia. Malah apabila diumumkan pemergian seorang pemimpin negara ke rahmatullah ada pula secara terbuka membuat komentar biadap di media sosial.
 
Sangat jauh daripada akhlak Rasulullah SAW yang mendoakan kebaikan kepada golongan Musyrikin yang menentang baginda sepertimana doa baginda buat kaum Daus; "Ya Allah, berilah hidayah kepada kaum Daus dan datangkanlah mereka ke Madinah"
 
Hindarkan sikap membenci, lebih-lebih lagi sesama Islam dan sebangsa. Jangan cemarkan nama Islam dengan amalan yang jauh terpesong, sedangkan mengaku seorang Islam dan memperjuangkan Islam.
 

No comments:

Post a Comment