Thursday 11 May 2023

KETUMBAR JAWA BAU AROMA LEBIH KUAT

 
Ketumbar jawa salah satu pokok herba yang fungsinya sama seperti daun ketumbar biasa. Ia digunakan untuk ramuan perasa dalam masakan seperti tomyam, sup, sos thai dan pelbagai menu masakan Thai yang kebanyakannya menggunakn daun ketumbar.
 
Ketumbar jawa ini berasal dari Amerika Tropika dan Hindi Barat. Namun kini, tumbuhan herba ini boleh didapati di negara tropika seluruh dunia. Pokok ini juga boleh dijadikan tumbuhan hiasan. Tambahan lagi, pokok ini kurang menghadapi masalah penyakit atau perosak.
 
Kelebihan ketumbar jawa ialah aromanya lebih kuat berbanding daun ketumbar biasa. Daun muda mempunyai rasa dan bau yang kurang kuat berbanding dengan daun tua. Baunya seperti daun ketumbar tetapi daun yang tua itu berbau lebih kuat seakan pepijat.
 
Selain dimasukkan ke dalam masakan, daun ini boleh juga dijadikan ulam sama ada dimakan tanpa pencicah mahupun ada pencicah seperti budu, cencalok dan sambal.   
 
Pokok ketumbar jawa ditanam menggunakan biji benih atau boleh juga menggunakan keratan batang. Pokok ini cepat membesar dan jika telah matang akan mengeluarkan bunga yang cantik di celah batang.
 
Bunga itu jika ingin dijadikan benih perlu dibiarkan sehingga tua dan kering. Ambil bunga yang telah kering itu dan boleh disimpan sebagai biji benih atau terus ditabur di tempat semaian.

No comments:

Post a Comment