Saturday 27 November 2021

FESYEN TUTUP AURAT LEBIH CANTIK

 
Fesyen adalah gaya atau reka bentuk pakaian. Pereka fesyen mempamerkan kebolehan kreatif mereka sesuatu fesyen yang mempunyai daya tarikan dan ia sentiasa berubah mengikut masa dan cita rasa orang ramai.

Fesyen pakaian dipakai mengikut kesesuaian keadaan atau tujuan memakainya. Pakaian ketika majlis keraian tentu sekali tidak sama dengan fesyen ketika masuk kebun atau melakukan kerja di kebun.

Apa yang penting, fesyen mestilah menutup aurat. Satu sifat semulajadi manusia ialah perasaan malu jika bahagian tertentu badan dilihat oleh individu lain tanpa ditutupi.

Justeru, manusia sejak zaman kuno akan cuba menutup bahagian sulit biarpun menggunakan bahan paling asas seperti kulit binatang, daun dan sebagainya. 

Fesyen mendedah aurat tidak mematuhi etika berpakaian kerana tidak ‘lengkap’. Mendedahkan aurat samalah tidak berpakaian. Kalau dianggap tidak berpakaian, mana hebatnya fesyen tersebut.

Aurat adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan kepada pandangan umum. Jika sudah terdedah sana sini, itu kira macam tidak berpakaian atau berpakaian tidak lengkap. 

Kejadian yang menimpa wanita seperti dirogol, dicabul kehormatan, gangguan seksual, dibunuh dengan kejam dan mangsa fitnah banyak berpunca cara berpakaian tidak menutup aurat. Lelaki mudah tertarik kepada wanita berpakaian seksi.  

Sebagai Muslim, tidak sepatutnya kita membantah atau mencari helah untuk membenarkan apa yang salah. Apa yang kita fikirkan betul tidak semuanya mendatangkan kebaikan. Allah lebih mengetahui apa yang ditetapkan untuk manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36).

Konsep menutup aurat yang dikehendaki Islam bukan sekadar menutupnya. Sebenarnya, menutup aurat mempunyai maksud lebih khusus. Contohnya, memakai pakaian yang sendat dan penggunaan kain tertentu juga termasuk perbuatan tidak menutup aurat. 

Pemilihan pakaian yang longgar dan labuh merupakan satu suruhan wajib bagi setiap wanita Islam agar menepati maksud menutup aurat. Jika mereka telah memilih menutup aurat, biarlah benar-benar seperti yang telah ditetapkan syarak.

Fesyen menutup aurat sebenarnya lebih cantik. Mempamerkan fesyen yang menampakkan pelbagai bentuk ragam pakaian dan warna.

No comments:

Post a Comment