Nabi
Muhammad SAW adalah pakar strategi dan perisikan. Dalam ruangan yang terbatas
ini, memadailah jika diambil peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada 622M.
Ini
kerana ia merupakan satu momentum dan titik tolak kepada kejayaan penyebaran
Islam di seluruh tanah Arab dan seluruh dunia kemudiannya.
Dalam
peristiwa tersebut jelas betapa genius dan pintarnya baginda dalam mengatur
strategi dan membuat perisikan sebelum tugas hijrah yang suci itu dilaksanakan.
Perkataan
'strategi' berasal daripada perkataan Greek strategos, iaitu istilah
ketenteraan untuk menerangkan kemahiran seorang panglima perang.
Ia
merujuk kepada perancangan seorang panglima perang mengatur pasukannya dengan
matlamat menewaskan pihak musuh.
Carl
von Clausewitz, ahli teori seni perang di abad ke-19, menyatakan strategi
sebagai usaha merangka perancangan perang dan membentuk kempen individu
termasuklah membuat keputusan penglibatan individu tersebut (The Essentials of
Strategy, 2006: xiii).
Dalam
lain perkataan, jika hijrah ke Madinah menjadi objektif, maka di sini strategi
ialah cara mana Rasulullah boleh melakukannya dengan jaya.
'Perisikan'
pula bermaksud hasil maklumat yang telah diproses dan boleh digunakan untuk
sesuatu tujuan. Ia berbeza dengan 'maklumat' yang merupakan bahan mentah yang
belum diproses bagi menghasilkan perisikan.
Ia
mempunyai lima peringkat iaitu perancangan, pengumpulan data dan maklumat,
pemprosesan bahan tersebut, penganalisisan dan akhirnya penyebaran hasil
perisikan tersebut kepada pihak yang memerlukannya.
Apakah
benar elemen-elemen strategi dan perisikan wujud dalam peristiwa hijrah
tersebut? Dari segi strategi, ia boleh
dikesan menerusi analisis SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness),
peluang (opportunity) dan ancaman (threat).
Faktor
kekuatan di sini ialah kesediaan penduduk Madinah (ketika itu masih bernama
Yathrib) menyambut kedatangan Baginda. Ini berikutan beberapa rombongan dari
kota tersebut yang telah menemui Baginda di Aqabah, Mina pada 621M terdiri
daripada 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj. Ia dikenali sebagai Baiah
Al-'Aqabah Pertama.
Ini
diikuti oleh Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622M di mana melibatkan kira-kira
70 orang Madinah yang menunaikan ibadah haji (Safiyyu Al- Rahman Al-
Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah, 2008: 207 dan 211).
Mereka
berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak
membunuh anak mereka dan tidak menentang Baginda.
Kekuatan
yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah memilih Gua Thur sebagai tempat
persembunyian semasa berhijrah. Ini kerana posisi gua tersebut terletak di
Selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan pihak
musuh.
Lebih-lebih
lagi gua tersebut agak tinggi, mempunyai jalan yang bengkang bengkok dan sukar
didaki. Baginda juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh
penduduk Mekah.
Dari
aspek kelemahan hijrah ke Madinah ini ialah Rasulullah dan Saidina Abu Bakar
akan menempuh jalan yang sulit dan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar
dilalui, tetapi terdedah kepada risiko lapar dan dahaga serta penuh kegelapan.
Mereka juga mudah terdedah kepada ancaman suku kaum yang tidak dikenali di
sepanjang perjalanan.
Dari
aspek peluang pula, Rasulullah telah menjangkakan Madinah adalah lokasi yang
terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di situ, Baginda dan golongan
Muhajirin akan kurang diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy Mekah.
Aspek
ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa Yahudi di Madinah. Ini
kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh Allah SWT.
Sebaliknya
Nabi Muhammad, daripada bangsa Arab. Ini menyebabkan mereka merasa iri hati.
Mereka mengadakan konspirasi dengan golongan munafik dan Quraisy Mekah.
Bagaimanapun
ancaman tersebut dapat ditangani apabila Rasulullah mengadakan perjanjian
dengan mereka. Baginda bertindak tegas apabila berlaku perlanggaran syarat
perjanjian. Peralatan perang mereka dirampas dan ini melemahkan kekuatan
ketenteraan mereka.
Bagaimana
pula dari aspek perisikan? Rasulullah sememangnya telah merancang hijrah ke
Madinah secara teratur, walaupun tidak dinafikan ia memang merupakan perintah
Allah.
Baginda
mempunyai fakta bahawa Madinah mempunyai keistimewaan dari segi geografi,
politik, ekonomi, mahupun sosial.
Madinah
terletak dalam kawasan perjalanan kabilah dari Sham dan Yaman. Dari arah timur,
Madinah bercantum dengan padang pasir Najd sehingga ke Iraq.
Dari
arah barat pula, kota tersebut bercantum dengan Laut Merah. Ia dikelilingi oleh
pokok-pokok dan tanaman yang rendang, dengan ini boleh menjadi pertahanan
perang semula jadi.
Kota
itu juga mempunyai tanah yang subur dan mempunyai dua lembah yang dilimpahi
air.
Rasulullah
juga mempunyai sumber perisikan dan pembantu yang dapat melicinkan lagi
pelaksanaan hijrah ke Madinah. Dalam istilah perisikan ia dikenali sebagai
HUMINT (human intelligence).
Antaranya
ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menemani Baginda sepenuh masa sewaktu
berhijrah. Begitu juga Ali bin Abi Talib yang menggantikan Baginda di tempat
tidur pada malam hijrah. Pembantu lain ialah Asma anak perempuan Abu Bakar yang
menguruskan bekalan makanan.
Ini
diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari maklumat perisikan. Pada
sebelah siang beliau keluar mencari maklumat yang menjadi isu percakapan orang
ramai, kemudian melaporkan kepada Baginda dan bapanya pada sebelah malam.
Ini
dimantapkan lagi oleh Amir bin Fuhairah, hamba kepada Abu Bakar yang menjadi
gembala ternakan. Beliau membantu persembunyian di Gua Thur, di samping
mengelirukan pihak musuh.
Pada
sebelah siang beliau menggembala ternakan di Mekah tetapi pada sebelah petang
membawa kambing ke tempat persembunyian untuk membekalkan susu kepada mereka.
Seterusnya
mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang mahir dengan situasi kawasan
dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik,
tetapi amanah dan taat menyimpan rahsia.
Rasulullah
juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan yang diterima. Baginda tidak mahu
terbuai dengan kuantiti pengikut, padahal yang lebih penting ialah kualiti
mereka.
Bagi
mempastikan pengikutnya berhijrah ke Madinah dengan niat yang ikhlas, bukannya
disebabkan agenda tertentu sama ada tujuan keduniaan atau untuk menikahi
seseorang perempuan.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap amalan bergantung kepada apa yang
diniatkan" - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Wanita
yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Ummi Qais yang memberi syarat kepada
seorang sahabat bahawa beliau bersedia menjadi isteri sekiranya lelaki itu
berhijrah ke Madinah.
Baginda
juga sentiasa membuat tindakan follow-up dan follow-through terhadap sokongan
yang telah dijanjikan. Contohnya, baginda mengutus seorang sahabat, Mushab bin
Omar kepada rombongan dari Yathrib (Madinah) yang berjanji setia dengan
Baginda, di samping mengajarkan al-Quran dan agama Islam.
Baginda
juga sentiasa memantau pergerakan orang yang memeluk Islam bukan kerana ikhlas
tetapi kerana muslihat tertentu. Golongan munafik ini diketuai oleh Abdullah
bin Ubai.
Sebagai
contoh Baginda mengetahui sepucuk surat sulit yang dihantar kaum Quraisy Mekah
kepada Abdullah supaya memerangi Baginda dan golongan Muhajirin. Baginda
berjaya mengagalkan konspirasi itu, hasil maklumat perisikan yang diterima.
Berdasarkan
kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi SAW menggunakan strategi
dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah.
Memang
tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang
bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan
melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal.
“Maklumat
tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman
mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui
situasi musuh."
Lantas,
sepatutnya umat Islam mencontohi Baginda menjadi umat kelas pertama yang
menguasai bukan sahaja kedua-dua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain
seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa
bersaing dan mencabar ini.
Sumber
akhbar.
No comments:
Post a Comment