Umat
Islam perlu merebut peluang kelebihan memiliki ilmu. Proses belajar tidak
terhenti ketika di sekolah dan universiti saja. Sebaliknya ia perlu dilakukan
seumur hidup.
Dengan
kekuatan akal dan ilmu meletakkan kedudukan seseorang pada tahap lebih
baik. Mereka dapat memahami matlamat hidup dan patuh kepada perintah Maha
Pencipta.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang
berakallah yang dapat memahami.”- (Surah az-Zumar, ayat 9).
Seharusnya
orang Islam tidak melepaskan peluang untuk berjihad melalui menuntut
ilmu. Satu jihad yang amat penting dilaksanakan setiap Muslim bagi
mengembalikan kedudukan Islam pada tahap kegemilangan.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (Masjid
Nabawi) dengan tujuan mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana
orang yang berjihad di jalan Allah.
“Dan
barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan selain itu, maka ia laksana orang
yang sedang melihat sesuatu yang bukan miliknya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban,
Ibnu Majah dan Ahmad).
Sabda
Rasulullah SAW lagi yang maksudnya: "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu
maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Hadis riwayat Tirmizi).
Berdasarkan
prinsip pembelajaran sepanjang hayat, umat Islam tidak akan berhenti belajar
setelah tamat alam persekolahan, kerana proses menuntut ilmu itu sebenarnya
sudah bermula sejak dari alam rahim dan akan berakhir di liang lahad.
Dalam
penelitian seorang Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Antarabangsa (ICED),
ketua penyelidiknya, Edgar Faure telah mengemukakan pandangan bahawa Islam
merupakan satu-satunya agama yang mewajibkan penganutnya belajar dan
mengembangkan kemampuan.
Tindakan
itu katanya bertujuan meraih kesempurnaan secara terus menerus, bukan sahaja
kepada perkara-perkara di luar dirinya, bahkan kepada perkara-perkara yang
berkaitan dengan kehidupannya sendiri, sama ada secara perseorangan ataupun
dalam masyarakat.
Jadi,
mengapa pula orang Islam masih ketinggalan? Jawabnya mudah, orang Islam
sudah meninggalkan tuntutan agama agar belajar.
Konsep
belajar dalam Islam amat jelas. Wahyu pertama dan kemudiannya dijelaskan
secara sedar oleh Nabi Muhammad SAW, yang mewajibkan setiap muslim (lelaki dan
perempuan) menuntut ilmu.
Sejarah
kelahiran dakwah Islam juga bermula daripada konsep ‘menghapuskan kebodohan
atau jahil’.
Sebab
itu, tawanan perang yang pandai membaca dan menulis diberi peluang menebus atau
membebaskan dirinya dengan mengajar ilmu kemahiran itu kepada orang
Islam.
No comments:
Post a Comment