Thursday 22 April 2021

GOLONGAN TUA MASIH PRODUKTIF

Golongan tua di Malaysia kian bertambah hasil program kesihatan yang lebih baik dan cara hidup yang mementingkan penjagaan kesihatan. 

Kira-kira 20 peratus warga kita berusia 60 tahun ke atas. Angka ini amat besar dan boleh mencetuskan kesan politik yang mencabar. Ia bukanlah tugas mudah kerana melibatkan sikap rakyat, baik yang muda mahupun yang tua, pendirian majikan dan ketegasan pemerintah. 

Warga tua ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di World Assembly On Ageing, 1982 di Vienna. Definisi yang diguna pakai di Malaysia, adalah mereka yang berumur lebih 60 tahun ke atas.

Tanggapan bahawa sudah tua, sudah tidak berdaya masih lagi membelenggu pemikiran sebahagian kita. Hal ini perlu dirubah dengan segera. Ikut resam padi, semakin menunduk semakin menjadi. Kalau hendak santan, maka carilah kelapa tua. 

Selain daripada faktor kesihatan jasmani dan rohani yang utama, kemahiran atau ilmu pekerja tua juga turut diambil kira. Oleh itu, amalan kesihatan dan falsafah belajar sepanjang hayat amat genting di pihak pekerja terutama yang memasuki zaman usia 50-an. 

Gambaran bahawa pekerja tua semakin kurang produktif sebenarnya tidak tepat. Azam berdikari dan berdisiplin tinggi merupakan teras kejayaan pekerja yang kian menua. Mereka memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dibina sejak masa muda. 

Oleh itu, harus ada penilaian objektif untuk membolehkan mereka bekerja dan meraih ganjaran setimpal rakan kerja yang lebih muda. Suasana merangsang pekerja tua perlu diwujudkan. 

Peningkatan penjagaan kesihatan dan kesedaran gaya hidup sihat membolehkan warga emas meneruskan aktiviti kehidupan secara normal dan mampu menggalas tugas untuk menyumbang kepada pembangunan eknomi, kesejahteraan dan keharmonian. 

Banyak warga emas mencipta kejayaan selepas mereka menamatkan kerja tetap yang diceburi sejak usia muda. Mereka mencari peluang pekerjaan baru, terutama memulakan perniagaan dan mencapai kejayaan dari segi pulangan kewangan yang lebih baik berbanding kerjaya sebelumnya.  


Sebenarnya tidak ada istilah tua atau pencen kepada mereka yang mempunyai motivasi serta matlamat hidup yang tidak pernah terhenti. Ini bukan bermakna sikap tamak kepada dunia, tetapi sebagai memenuhi tuntutan agama bahawa mencari rezeki itu satu ibadah.  

Harta atau wang yang diperoleh mampu digunakan untuk pelbagai tujuan baik yang tentunya diberi ganjaran pahala sebagai bekal hidup di akhirat. 

No comments:

Post a Comment