Sunday 13 September 2020

AMBIL PELUANG BERTEMU RAKAN TUA

Dalam persahabatan, jarak dan ruang masa sering memisahkan kita. Ada rakan yang kita tidak bertemu puluhan tahun. Rakan sekolah atau sekuliah sering terpisah kerana jarak apabila masing-masing berhijrah membina kehidupan di tempat baharu. Tidak kurang juga terpisah kerana mengikut pasangan masing-masing.

Era dunia komunikasi canggih hari ini, ruang dan peluang untuk persahabatan bertaut kembali semakin mudah. Kawan yang telah berpisah puluhan tahun dapat dijejaki dan dihubungi kembali.

Maka, tidak sukar untuk mengadakan janji temu atau perjumpaan semula. Tidak kisahlah, program yang diadakan secara skala ‘kecil’ mahupun ‘besar’. Kadang-kadang sekadar bertemu empat lima orang sahaja. Pada masa lain boleh bertemu dengan yang lain pula.

Kalau kerap diadakan, lebih banyak bertemu dengan rakan-rakan lain biarpun sekadar petemuan meja bulat kecil di warung tepi jalan.

Kalau hendak adakan secara besar-besaran, memang sukar. Masing-masing ada tugasan dan halangan berbeza. Ada yang berpeluang pada masa tertentu, tetapi pada masa lain pula ada batasan.

Maklumlah, semakin tua bukan semakin kecil tugas. Sebaliknya ada yang lebih sibuk berbanding usia muda.

Kalau dahulu hanya fikirkan tentang diri sendiri sahaja. Sekarang ini kena fikirkan juga pasangan masing-masing, anak, mertua, cucu, NGO dan besan, selain kerjaya bagi mereka yang masih bertugas. Tidak kurang juga yang sibuk ulang alik ke hospital untuk mendapat rawatan.

Sebab itu, kalau hendak mengadakan pertemuan semula, tidak perlu fikirkan sangat mengenai tarikh dan berapa atau siapa yang dapat hadir. Adakah sahaja bila-bila dan di mana-mana yang difikirkan sesuai. Biar yang dapat hadir sedikit, daripada tidak bertemu langsung.

Ingatlah.... usia kita bukan muda lagi. Sudah ada rakan-rakan kita yang meninggalkan kita selama-lamanya. 

 

No comments:

Post a Comment