Thursday 27 February 2020

TETAWAK SEJENIS GONG DIGUNA IRINGI PERSEMBAHAN TRADISIONAL

Perkataan tetawak atau tawak-tawak adalah istilah yang digunakan dalam masyarakat tempatan, terutama di Kelantan. Tetawak adalah salah satu bentuk gong. Sebab itu, bagi orang kebanyakan akan memanggil tetawak sebagai gong sebagai satu nama umum. 

Daripada maklumat yang diperoleh, alat tetawak dari jenis tembaga diakui dibawa masuk dari negara Burma melalui Pattani di selatan Thailand sejak beratus-ratus tahun dahulu untuk kegunaan teater tradisional seperti wayang kulit, menora, makyung, main puteri dan tarian asyik.

Pada masa kini terdapat juga alat tetawak yang diperbuat daripada besi sebagai alternatif oleh pakar-pakar tertentu dari kalangan masyarakat tempatan. Mereka menggunakan teknik ‘pateri’ ataupun dibentuk dari objek seperti ‘leger’ iaitu tong-tong minyak yang sedia ada kemudian dipaterikan.

Namun kemahiran teknik seperti di atas tidak dapat menjamin mutu dan nilai sesebuah alat itu. Untuk menghasilkan tetawak yang berkualiti dengan teknik tempa.

Penghasilan tetawak menggunakan teknik tempa lebih halus dan rumit, tetapi itu cara terbaik. Kaedah penghasilan tetawak menggunakan teknik tempa telah mendapat pengiktirafan masyarakat dunia sebagai gong yang terunggul.

Tetawak  biasanya dimainkan secara berpasangan, iaitu tetawak ibu dan tetawak anak dengan menggunakan pemalu. Ia biasanya digantung berpasangan pada batang kayu yang dikenali sebagai kayu mengabang dan dimainkan oleh pemain yang sama.

Tetawak ibu, secara dikotomi, mempunyai pic suara yang lebih rendah dan bentuk fizikal yang lebih besar daripada tetawak anak. Tetawak ibu biasanya digantung berada di sebelah kiri pemalu.

No comments:

Post a Comment