Saturday 7 July 2018

PENDIDIKAN SEJARAH BENTUK PATRIOTISME

Patriotisme adalah satu sentimen nasional yang menekankan kepada aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang warga negara.  

Patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan.  
Era awal selepas kemerdekaan mempamerkan semangat sayangkan negara yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, rakyat berbilang kaum mempelajari mata pelajaran sejarah dan sivik bagi memupuk dan menyuburkan semangat cintakan tanah air.

Kebelakangan ini sejarah negara yang menjadi asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Pengetahuan dan literasi sejarah umumnya dianggap satu aset intelektual yang tidak mendatangkan keuntungan atau bernilai perdagangan. Oleh itu, ia tidak dipentingkan dan dianggap sekadar satu pengetahuan am.

Namun, sedar atau tidak, pendidikan sejarah adalah aset amat penting dalam pembentukan keperibadian bangsa dan negara yang lebih kukuh, tersusun dan terarah. Ia juga amat penting untuk membina semangat patriotik yang semakin tandus di kalangan generasi muda kini. Justeru, kebanyakan kita lupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun (1511-1957), satu jangka masa yang amat panjang.

Jika rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik dan ketahanan diri yang tinggi seperti dimiliki Mat Kilau, kita tidak perlu untuk mengadakan institusi bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara seperti Biro Tata Negara (BTN), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebagainya.

Namun, kerana ramai di antara kita yang lupa sejarah perjuangan bangsa serta lemah jati diri, kerajaan menubuhkan BTN pada 1974, yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Pendidikan kenegaraan ini amat penting untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan serta pemimpin dan pemaju masyarakat.

Pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara adalah benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan. Sebagai rakyat dan juga pemimpin, pastinya tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 serta penjajahan kuasa asing berulang dan bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.

No comments:

Post a Comment