Sunday, 15 November 2026

CARA JAHAT INGGERIS CAMPUR TANGAN DALAM PENTADBIRAN PERAK

 
Cara jahat Inggeris mula campur tangan dalam pentadbiran Perak.

Kapten Tristram Charles Sawyer Speedy (1836–1910) iaitu individu yang dilantik Inggeris mengetuai pasukan polis dan kastam di Pulau Pinang pada tahun 1871, telah mengetahui akan aktiviti ekonomi melibatkan pelombongan biji timah, tebu, kopi dan rempah ratus di Perak.

Pada tahun 1848, Long Jaafar menjadi orang pertama melombong bijih timah di Tanah Melayu. Kawasan itu ialah di Klian Pauh (kini tapak Penjara Taiping). Kawasan baharu seterusnya ialah di Klian Baru (kini Kemunting).

Sebagai penguasa polis di Pulau Pinang, Kapten Speedy mengetahui bahawa kongsi gelap kumpulan Ghee Hin dan Hai San adalah seteru kuat dan sukar untuk didamaikan.

Kapten Speedy menggunakan seteru ini dengan membawa kumpulan Hai San seramai 20 orang ke Klian Pauh untuk membantu Ngah Ibrahim dalam aspek perlombongan. Kemudian Kapten Speedy membawa masuk kumpulan Ghee Hin pula.

Aktiviti ekonomi di Klian Paun, khususnya melombong biji timah terus berkembang. Namun, pada masa sama aktiviti kongsi gelap dan perseteruan kumpulan Hai San dan Ghee Hin juga semakin menular.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlakunya Perang Larut sebanyak empat kali di antara tempoh 1861 sehingga 1874.

Inggeris menjadi duri dalam daging dalam siri Perang Larut, biarpun dilihat sebagai pihak ingin mendamaikan. Kalau Inggeris benar-benar ingin menjadi pendamai, sudah pasti berjaya kerana kedua-dua pihak kongsi gelap itu dikuasai oleh Inggeris.  

Perang Larut berakhir dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, yang menjadi titik penamat kepada konflik perebutan lombong bijih timah dan krisis takhta Perak, sekaligus memulakan era campur tangan langsung British di Tanah Melayu.

J.W.W. Birch dipilih sebagai residen pertama di atas sikapnya yang bengis, tidak bertolak ansur, kaki perempuan, kaki mabuk, berjudi, suka berfoya-foya dan sebagainya yang bertentangan dengan adat Melayu serta agama Islam.

Sebenarnya Birch dijadikan sebagai kambing hitam untuk membuat orang Melayu marah.  Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Pandak Endot dan lain-lain pemimpin Melayu menjadi tempat menggadu penduduk tempatan berkaitan sikap JWW Birch.

Dengan kemarahan melampau menyebabkan Si Puntum yang mengikuti rombongan Maharajalela telah membunuh Birch di Pasir Salak.

Saat pembunuhan itu, maka bermulalah agenda British untuk merampas semua harta dan kekayaan Ngah Ibrahim dengan alasan terlibat bersubahat membunuh Birch.

Hakikatnya, Ngah Ibrahim lansung tidak terlibat dalam kes pembunuhan ini. Beliau dibawa ke muka pengadilan tanpa penguam bela dan dijatuhi hukuman di buang ke Pulau Seychelles bersama Raja Abdullah.

Manakala Datuk Maharajalela dan rombongan ke Pasir Salak dijatuhi hukum gantung sampai mati.

Selepas itu semua harta tanah dan pekerja-pekerja Ngah Ibrahim diambil alih oleh British. British memberi kepada ketua-ketua kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San mengusaha lombong-lombong dan ladang-ladang milik Ngah Ibrahim sebagai habuan bekerjasama dengan Inggeris.

Tanah-tanah Ngah Ibrahim di Klian Pauh digunakan oleh Inggeris untuk membina beberapa bangunan pentadbiran dan perkhdmatan.

Selepas Perjanjian Pangkor 1874, dan campur tangan Inggeris secara langsung di Klian Pauh, keamanan dan perdamaian lahir di kawasan tersebut setelah Inggeris tidak lagi menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan.

Kumpulan kongsi gelap yang menjadi agen huru-hara Inggeris tidak lagi bergaduh apabila mendapat habuan masing-masing.

Setelah keamanan dinikmati, maka orang Cina menyebutnya "tai-ping" yang bermaksud aman atau damai.

Dari situlah, nama Taiping tercipta yang kekal sehingga sekarang. Tahun 1874 dikira sebagai tahun penubuhan Taiping, sedangkan kawasan tersebut dengan nama Klian Pauh telah wujud sebelum itu.

Satu daripada harta Ngah Ibrahim yang masih wujud ialah Taman Tasik Taiping. Kawasan bekas lombong bijih timah itu pernah diserahkan oleh Inggeris kepada pemimpin Hai San iaitu Chung Keng Kwee.  

Pada tahun 1880, tapak bekas lombong itu "diambil" kembali oleh Inggeris untuk dibina sebuah taman awam yang kekal sehingga sekarang. Chung Keng tidak membantah kerana sedar kawasan itu asalnya milik Inggeris yang dirampas daripada Ngah Ibrahim.

No comments:

Post a Comment