Saturday, 25 January 2020

DOA SEBELUM TIDUR

Umat Islam dianjurkan selalu berdoa dan berzikir kepada Allah dalam apa jua keadaan demi mendapatkan rahmat dan keberkatan yang berterusan di dunia mahupun akhirat kelak. Salah satu tujuannya adalah untuk memastikan manusia itu dapat hidup dengan bahagia, harmoni dan diredhai oleh Allah.

Selain itu doa juga bertujuan untuk mengelakkan terjadinya gangguan makhluk-makhluk dari kalangan manusia, jin dan syaitan.

Berdoa dan berzikir adalah antara perkara yang termasuk dalam cara-cara mengingati Allah sama ada ketika manusia itu senang, susah, berdiri, duduk, berjalan, bekerja, berehat, bangun mahupun ketika mahu tidur sekalipun.

Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Bukhari dan Muslim bermaksud: "Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah bagaikan kamu hendak solat, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti maksud doa yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu sebelum tidur)."

Dalam sebuah hadis lain pula bermaksud: "Daripada Huzaifah katanya: Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya lalu baginda berdoa: (Maksudnya); "Dengan nama-Mu Ya Allah, aku hidup dan aku mati."

Dalam riwayat hadis yang lain ada menerangkan yang bermaksud: "Daripada Aisyah katanya: Rasulullah SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falak dan Surah An-Naas, kemudian baginda menyapukan tangannya ke seluruh badan yang dapat disapunya dari kepala dan mukanya dan bahagian depan daripada tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Rasulullah SAW sebelum hendak tidur juga pernah membaca doa yang bermaksud: "Ya Allah, Tuhan langit dan bumi. Tuhan Arasy Yang Maha Agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Yang membelah biji dan benih, Yang menurunkan (Kitab) Taurat, Injil dan Al-Furqan (Al-Quran). Aku berlindung kepada Mu daripada kejahatan setiap yang memiliki kejahatan, di mana Engkaulah yang memegang setiap yang memiliki kejahatan, di mana Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya. Engkaulah yang pertama, maka tidak ada sesuatu pun sebelum Mu. Dan Engkaulah yang terakhir, tidak ada sesuatu pun sesudahMu. Engkaulah yang zahir, maka tidak ada sesuatu pun diatas Mu. Engkaulah yang batin, tidak ada sesuatu pun dibawah Mu. Tunaikanlah hutang kami dan jauhilah kami dari kemiskinan." (Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad juga menyarankan umat Muslim menunaikan solat sunat witir  sebelum tidur, sebagaimana yang tercatat dalam hadis berikut yang bermaksud: "Rasulullah SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering menganggu manusia ketika tidur. Oleh itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan Solat Witir setiap kali sebelum tidur". (Hadis Riwayat Bukhari).

Terdapat juga hadis bermaksud: "Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila ia berwuduk maka akan terbuka ikatan kedua. Apabila dia solat , maka akan terlepaslah semua ikatannya. Ia akan merasa sesuatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak ia akan merasa malas dan kekusutan hati". (Hadis Riwayat Bukhari)

Jika Rasulullah terjaga dari tidur di tengah malam, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangannya, sebelum baginda tidur semula. Dan setiap kali Rasulullah bangun selepas selesai waktu tidurnya, baginda akan mengucap syukur dengan membaca: "Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami dan kepadaNya lah tempat kembali".

Jadilah kita hamba yang sentiasa menyerah diri kepada Allah dan memohon perlindungan dari segala kejahatan sama ada yang nyata mahupun tidak nyata.

1 comment:

  1. If you're attempting to lose fat then you certainly have to try this totally brand new custom keto meal plan diet.

    To create this keto diet, certified nutritionists, fitness trainers, and chefs have united to provide keto meal plans that are useful, painless, cost-efficient, and enjoyable.

    Since their grand opening in 2019, thousands of individuals have already remodeled their body and well-being with the benefits a certified keto meal plan diet can provide.

    Speaking of benefits: in this link, you'll discover 8 scientifically-certified ones given by the keto meal plan diet.

    ReplyDelete