Saturday 10 October 2020

BUAH PELAGA RASA UNIK

Buah pelaga atau turut dikenali dengan nama cardamom (bahasa Inggeris), bai dou kou (China), choti elaichi (Hindi), luk krawan (Thailand) dan kalulaga (Indonesia) antara rempah-ratus paling tua di dunia yang banyak manfaat kepada kesihatan badan.

Ia dipercayai dapat membantu mengeluarkan angin dari perut dan usus selain melawaskan haid serta air kecil.

Nama botaninya Elettaria cardamomum iaitu tumbuhan semula jadi di timur dan berasal dari dalam hutan di selatan India. Ia tumbuh secara meliar.

Buah pelaga dikatakan rempah ketiga paling mahal di dunia dan dianggap sebagai 'ratu rempah.' Benihnya mempunyai aroma manis dan rasa sedikit pedas.

Masyarakat Mesir kuno dikatakan gemar mengunyah biji pelaga sebagai pencuci gigi. Masyarakat Greek dan Roman pula menggunakannya sebagai minyak wangi.

Masyarakat Viking pula dikatakan menemui buah pelaga seribu tahun lalu di Constantinople, kemudian memperkenalkannya ke Scandinavia, tempat di mana buah pelaga kekal popular sehingga hari ini.

Buah pelaga mempunyai rasa yang unik dan khasiat antioksidan yang tinggi. Selain digunakan untuk masakan, dimanfaatkan juga untuk kesihatan bagi merawat pelbagai penyakit jangkitan, radang dan juga sistem penghadaman.

Buah pelaga dikatakan berupaya menghapuskan bakteria dan disamping itu boleh juga merangsangkan selera makan dan melegakan keasidan dalam perut. Ia juga sangat mujarab bagi merawat bronkitis, batuk, demam dan sakit perut. Kunyah buah pelaga dapat menyegarkan bau mulut dan nafas.

Di negara Arab, mereka ini gemar masukkan buah pelaga di dalam minuman teh begitu juga dengan kaum India, sering masukkan buah pelaga di dalam minuman dan makanan yang mengandungi susu. Beberapa pengamal ayureveda menggunakan buah pelaga untuk merawat jangkitan saluran kencing.

Sekiranya nak lebih kuat aroma dan rasa buah pelaga, ketuk buah pelaga dan rendam selama 10 ke 15 minit ke dalam air panas dan pastikan cawan ditutup. Kalau suka boleh maniskan dengan madu.

Sebenarnya banyak herba yang terdapat di dalam kabinet dapur kita, boleh memberi kebaikan kepada kesihatan badan, cuma kita perlu tahu bagaimana nak manfaatkannya. 

No comments:

Post a Comment