Jabatan Pengangkutan Rel Thailand berbincang dengan Malaysia
untuk meneruskan pemulihan laluan kereta api Sungai Golok-Rantau Panjang.
Tindakan itu adalah lanjutan perbincangan peringkat menteri kedua-dua negara
yang diadakan sebelum ini.
Perbincangan itu melibatkan kajian cara-cara
pemulihan laluan kereta api Sungai Golok-Rantau Panjang yang merupakan laluan
penting menghubungkan kedua-dua negara pada masa lalu.
Wakil Thailand telah turun ke lapangan dan mengadakan
perbincangan di Stesen Pasir Mas, Stesen Rantau Panjang dan Stesen Kota Bharu Laluan Rel Pantai Timur
(ECRL - East Coast Rail Link).
Manakala delegasi dari Malaysia terdiri daripada
pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kereta Api Malaysia
(KTMB), syarikat Malaysia Rail Link (MRL) dan agensi-agensi berkaitan juga
turut hadir.
Lawatan ini bertujuan untuk berbincang dan meninjau keadaan
infrastruktur keretapi antara Thailand-Malaysia melalui Jambatan Keretapi
Sungai Golok yang pernah menjadi laluan pengangkutan penumpang dan barangan
tetapi telah dihentikan perkhidmatannya selama lebih daripada 20 tahun.
Laluan keretapi di pihak Malaysia dari Rantau Panjang ke
Pasir Mas sepanjang lebih kurang 18.7 kilometer telah menghentikan operasi lama
kerana banjir.
Kedua-dua pihak melihat pemulihan laluan kereta api ini
sebagai peluang penting untuk menghubungkan dengan ECRL.
Kerajaan Malaysia mempertimbangkan
untuk membangunkan projek ECRL dari stesen Kota Bharu sejauh 30.5 kilometer
untuk menghubungkan ECRL dengan rangkaian kereta api sedia ada di Malaysia dan
Thailand pada masa depan.
Pihak Thailand yakin dengan pemulihan laluan kereta api Sungai
Golok-Rantau Panjang dan pembangunan rangkaian rel berkembar di bahagian
selatan negara berkenaan akan meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan.
Ia juga akan meningkatkan peluang perdagangan,
pelaburan, dan pelancongan, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan
tersebut.