Bekas lombong bijih timah menjadi taman awam tertua di
Malaysia.
Taman awam yang dimaksudkan ialah Taman Tasik Taiping,
Perak. Ia merupakan kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah.
Sebelum dibangunkan untuk kawasan rekreasi, kawasan ini pernah
dikuasai oleh pemimpin Hai San, iaitu Chung Keng Kwee yang melakukan aktiviti
melombong di situ.
Idea untuk mewujudkan taman awam untuk penduduk Taiping ini
asalnya daripada Kolonel Robert Sandilands Frowd Walker.
Lombong bijih timah yang terbiar telah didermakan oleh Chung
Thye Phin untuk tujuan dijadikan kawasan rekreasi bagi kegunaan orang awam.
Apabila Residen Perak, Frank Swettenham mendapati kawasan
ini strategik untuk pembangunan sebagai taman rekreasi, kerja-kerja membaik
pulih dimulakan sehingga ia dibuka untuk orang awam pada 17 November 1893.
Pembangunan Taman Tasik Taiping ini telah dilaksanakan oleh
Charles Compton Reade (1880–1933), yang mana beliau juga bertanggungjawab
merancang untuk membina Taman Kuala Lumpur (sekarang Taman Botani Kuala Lumpur)
bersama dengan Lady Swettenham.
Pembangunan ini juga dibantu oleh penguasa perlombongan,
William Scott sebagai peneraju yang menyusun pelan pembangunan.
Keluasan asal taman ini adalah 61.93 hektar, telah diperbesarkan
sehingga mencapai keluasan 96.44 hektar oleh Majlis Perbandaran Taiping.
Pada tahun 1884, taman tasik ini telah ditanam dengan
rumput, pokok-pokok bunga dan pokok-pokok hiasan dengan sebahagian daripada
taman ini telah dipasang pagar untuk menghalang lembu daripada masuk ke taman
ini.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia telah
menganggarkan terdapat 113 pokok hujan-hujan dan 1,300 jenis pokok lain di
dalamnya.
Jika anda datang melancong ke Taiping, tidak lengkap lawatan
anda itu jika tidak melawat ke Taman Tasik Taiping yang indah.
Terdapat 10 kolam dan tasik kecil yang menyerlahkan lagi
taman tersebut. Di sepanjang Jalan Residensi yang melalui taman tersebut
terdapat banyak pokok Angsana.
Laporan George L. Peet’s yang bertajuk "A Journal in
the Federal Capital", apabila beliau melawat Taiping pada tahun 1933.
Beliau berkata, "Saya tidak tahu jika ada tempat yang lebih indah dalam
negara ini selain Taman Taiping ketika cahaya mentari menyinar merentasi di sebalik
dedaunan pepohon buluh, palma dan pohon-pohon yang berselerakan di pulau-pulau
(di Taman Tasik) di kawasan air yang luas.
"Seseorang akan memperoleh pengalaman yang berharga di sepanjang
setengah jam melalui cahaya-cahaya indah tersebut yang tidak dapat diperoleh
jika berada di England.
Terdapat beberapa rumah persendirian dan milik kerajaan di sekitar
taman tasik tersebut. Di antara kediaman yang terdapat di situ ialah Old
Residency (kediaman Setiausaha Residen), Rumah Raja di persimpangan Jalan Birch
dengan Jalan Residensi kediaman pegawai tentera di Jalan Batu Tugih.
Keindahan taman tersebut terlalu menyerlah sehingga menarik
ramai pengembara untuk menulis mengenai keindahannya."
No comments:
Post a Comment