Wednesday 11 January 2023

PENUBUHAN MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN

 
Penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merupakan satu sejarah besar kepada pekembangan Islam di Kelantan. Ia satu bukti usaha pihak istana ingin memperkukuhkan dan menyediakan satu badan khas untuk mentadbir urusan keagamaan dan kebajikan bangsa Melayu di Kelantan.
 
Penubuhan MAIK dilakukan pada 24 Disember 1915 bersamaan 16 Safar 1334 dilakukan atas titah Sultan Muhammad IV (1900 - 1920). Dengan adanya MAIK segala urusan keagamaan dikendalikan oleh pegawai mempunyai kemahiran khusus dan sumber kewangan yang dirancang untuknya.
 
MAIK menerbitkan majalah Pengasuh pada 1918 yang antara lain bertujuan memudahkan usaha penyebaran pengetahuan Islam kepada rakyat. Penyunting kehormat pertama Pengasuh ialah Haji Muhammad Yusof bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan.
 
Pengasuh menjadi media terpenting menyebarkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mesyuarat ulama dan menjawab persoalan berkaitan agama yang dikemukakan oleh pembaca. Pengasuh menjadi medan perbincangan dan sumber ilmu Islam terpenting. Pengasuh masih diterbitkan sehingga sekarang dalam bentuk majalah agama lebih golbal. 

No comments:

Post a Comment