Sunday, 27 October 2019

KENAPA SAYA KELUAR GROUP WHATSAPP

Maaf saya terpaksa keluar dari group ini. Dengan penuh rasa rendah diri ingin saya maklumkan kepada semua ahli group ini bahawa saya terpaksa 'left' dari group ini. Bukan group ini saja yang saya left, bahkan banyak juga group lain.    

Perkara ini terpaksa dilakukan memandangkan masalah saya untuk membaca setiap 'post' rakan-rakan yang banyak dan panjang. Ada post yang berulang-ulang. Itu tidak termasuk lagi pos yang sama di group-group lain. 

Ada juga yang 'silap pintu'. Tidak kurang juga yang sekadar salin dan tampal tanpa tahu apa maksud kandungan yang disalin dan ditampal itu. Ada berita yang sudah selesai atau basi disebarkan. Ada juga pos jenaka atau sekadar hendak mengena ahli group.

Sebenarnya saya tidak kisah sangat masalah di atas. Saya terhibur juga baca pos yang berkenaan. Masalah besar sebenarnya ialah masalah penglihatan saya. Saya tidak dapat membaca lama di paparan telefon. Mata akan sakit dan kepala mula pening. 

Sebab itu saya jarang respon atau membuat pos di group. Saya sukar untuk menaip di telefon. Kalaupun ada, itupun dilakukan dengan 'terpaksa'. Saya pernah 'mual' dan fobia selama beberapa hari dengan whatsapp disebabkan sebelum itu saya terpaksa berwhatsapp beberapa jam. 

Sebab itu saya amat jarang buka whatsapp. Kadang-kadang lebih sehari. Bila buka jumlah yang belum dibaca hingga lebih 1,000. Memang tidak terbacalah. Maka, banyak perkara berkaitan pengumuman terlepas pandang. 

Ada rakan yang komen mengapa saya tidak respon kepada pos rakan-rakan. Macam saya buat main-main saja sesetengah pos yang dianggap penting. Atau dituduh saya anti sosial atau tidak mahu berkawan dengan ahli group lain. 

Saya tidak terasa dengan anggapan kawan itu. Mereka tidak tahu masalah saya. Maka itu, mengapa saya membuat penjelasan ini.

Sebab lain saya terpaksa kurangkan penyertaan dalam group ialah untuk jimatkan data. Maklumlah, saya hanya guna data pascabayar 0.5 mb  saja untuk sebulan. Kalau buka video memang banyak kena buka data. 

Satu lagi masalah ialah saya guna telefon 'cap ayam'. Tidak boleh simpan banyak data. Boleh jadi 'jam' kalau terlalu banyak data masuk melalui whatsapp.

Memandangkan selama ini pun saya hanya 'menumpang' dalam group ini seumpama melukut di tepi gantang. Tiada tidak mengurangkan, ada tidak akan menambahkan. Jadi, ahli group lain tidak akan terasa akibat saya left. Tidak rugi dan tidak juga untung. Sekali lagi saya memohon maaf terpaksa keluar dari group ini. 

Saya akan left group ini berkuatkuasa serta merta apabila saya tekan icon Exit Group dan anda akan lihat nombor atau nama saya 'left'. Selagi saya tidak tekan Exit Group atau tidak dikeluarkan oleh pentadbir kumpulan, maka itu saya akan terus kekal di dalam group ini.

Sekian penjelasan saya. 

No comments:

Post a Comment