Dalam istilah perniagaan, sikap
peniaga menaikkan harga sesuka hati atau memperdayakan pembeli dengan harga
lebih tinggi dipanggil manipulasi harga. Amalan tersebut terjadi ketika
pemintaan meningkat disebabkan faktor-faktor tertentu.
Dalam sistem ekonomi kapitalis,
keadaan tersebut dibenarkan, bahkan mesti direbut oleh setiap peniaga. Peniaga
dianggap bijak jika berjaya mewujudkan manipulasi harga yang memberi keuntungan
lebih kepada mereka.
Konsep yang dipengang ialah peniaga
bebas menentukan harga berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Pergerakan
barangan juga tidak boleh dikawal. Peniaga dianggap bebas untuk membawa keluar
dan memasarkan barangan di mana yang disukai biarpun tindakan itu akan
menyebabkan sesuatu kawasan mengalami kekurangan bekalan dan menyusahkan
pengguna.
Konsep inilah yang ditekankan dalam
amalan perniagaan era globalisasi dan liberalisasi. Pergerakan bebas barangan
tanpa memikirkan kesan kepada pengeluar, peniaga lain dan pengguna dianggap
kehebatan globalisasi.
Semakin besar keuntungan yang
diperoleh, semakin besar juga sifat tamak di hati para peniaga yang dilalaikan
hati mereka daripada mematuhi tuntutan syariat. Ketika itu, syaitan telah berjaya menguasai nafsu. Mereka bertindak
melakukan perbuatan ditegah agama untuk mendapat keuntungan lebih.
Hukum Islam menetapkan keadilan
berdasarkan apa terbaik bagi kedua-dua pihak. Amalan perniagaan dalam Islam
membenarkan turun naik harga barang berdasarkan kepada konsep keuntungan yang
diperlukan oleh peniaga.
Peniaga berhak menaikkan harga jika
kos modal meningkat. Tindakan ini bagi memastikan peniaga terus mendapat
keuntungan dan boleh meneruskan perniagaan. Jika peniaga rugi dan tidak dapat
meneruskan perniagaan, pembeli juga menanggung kesannya.
Justeru, dalam menyelesaikan
permasalahan tersebut, Islam mengharuskan peniaga meningkatkan harga. Bahkan,
pembeli sendiri sudah pasti dapat menerima hakikat dan bersedia membayar lebih
bagi mendapatkan barang yang diingini jika mengetahui kenaikan harga itu
berpunca kenaikan kos.
Peniaga yang memperoleh keuntungan
melalui cara penindasan dan penipuan dikategorikan sebagai makan riba. Pemakan
riba mendapat balasan amat pedih ketika dibangkitkan di akhirat.
Firman Allah bermaksud: “Mereka yang
makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk
syaitan. Keadaan demikian berlaku kerana mereka mengatakan berniaga itu sama
dengan riba, sedangkan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah,
ayat 275).
No comments:
Post a Comment