Sunday, 11 May 2025

PEMBUKAAN SEMULA LANDASAN KEMPAS BARU-PASIR GUDANG.

 
Pembukaan semula landasan laluan Kempas Baru-Pasir Gudang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook di Terminal KTMB, Pasir Gudang pada 9 Mei 2025.
 
Landasan sepanjang 39.9 kilometer yang menghubungkan tiga jajaran utama – Kempas Baru, Seelong dan Pelabuhan Johor, telah dinaik taraf secara menyeluruh melibatkan pembinaan sistem perparitan baharu, penggantian trek dan batu kelikir, serta peningkatan sistem isyarat dan keselamatan.
 
Proses naik taraf bernilai RM55 juta itu mengambil masa selama enam bulan, yang mana sepanjang tempoh tersebut ia ditutup.
 
Dengan pembukaan semula laluan ini, KTMB telah meningkatkan kekerapan perjalanan kereta api kargo daripada 2 kepada 6 trip sehari, serta melonjakkan jumlah pengendalian kontena dari 140 TEUs kepada 420 TEUs sehari.
 
Laluan rel berkenaan akan memperkukuh sambungan antara Pelabuhan Pasir Gudang dengan pelabuhan utama lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang serta ke Kuantan dan ke luar negara melalui jaringan rel ke Thailand dan China, yang sedang menjalani rundingan.
 
Kejayaan itu menandakan Malaysia semakin hampir merealisasikan aspirasi sebagai hab logistik serantau yang berdaya saing. Ia sekali gus membuktikan keupayaan sistem rel sebagai mod pengangkutan kargo yang lebih cekap, selamat dan mampan.
 
Pasir Gudang dan Kempas antara hab logistik utama di Johor, dan penyambungan antara kedua-duanya melalui perkhidmatan kargo rel yang berkesan adalah cukup penting. Laluan ini nadi penting kepada rantaian bekalan industri, terutamanya dalam menyokong operasi pelabuhan-pelabuhan di Johor.

No comments:

Post a Comment