Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II yang
memerintah Kelantan sekitar tahun 1840, istana atau pusat pemerintahan baginda
terletak di Pulau Saba. Pulau Saba sekarang ini telah lenyap disebabkan hakisan
setiap kali musim banjir.
Pulau Saba terletak di tebing Sungai Kelantan
berhampiran dengan kawasan Tambatan Diraja atau pejabat Jabatan Kastam Diraja
Negeri Kelantan sekarang ini. Berhampiran Pulau Saba terdapat Kebun Mengseta
yang menjadi tempat kediaman kerabat diraja.
Sebenarnya, Sultan Muhammad II telah
berusaha untuk mengelak berlaku hakisan Pulau Saba dan menyelamatkan istana
baginda.
Untuk mengurangkan kelajuan air Sungai
Kelantan pada musim banjir dan mengelak berlaku hakisan di kawasan Pulau Saba, baginda
telah mengarahkan agar lencongan sungai dibuat.
Pada tahun 1840, baginda telah
memerintahkan supaya digali sebuah anak sungai di tebing sebelah barat Sungai
Kelantan iaitu dari Kampung Kutan hingga ke bendang Mokrat (dekat Kampung
Palekbang sekarang).
Anak sungai itu telah selesai digali pada
tahun 1841 dan merupakan satu cabang dari Sungai Kelantan dan panjangnya adalah
kira-kira lima kilometer. Tetapi anak sungai itu telah tertimbus dengan sekali
banjir saja oleh pasir dan lumpur yang dibawa oleh arus banjir Sungai Kelantan.
Biarpun sebahagian sungai tersebut sudah
tertimbus, kesan atau bentuk sungai tersebut masih wujud sehingga sekarang.
Kesan atau tanda-randa sungai itu kini dikenali Sungai Raja Gali.
Apabila Sungai Raja Gali itu telah
tertimbus, maka tebing Sungai Kelantan, terutama sekali tebing sebelah timur,
mulai runtuh kembali apabila berlaku banjir. Keruntuhan tebing-tebing sungai
itu mengancam keselamatan kota atau bandar Pulau Saba dan kawasan Kebun
Mengseta.
Buntu untuk menyelamatkan Pulau Saba, Sultan
Muhammad II telah memilih satu kawasan agak jauh dari tebing sungai untuk
dibina pusat pemerintahan baharu. Kawasan tersebut mula dibina pada kira-kira
tahun 1844 Masihi.
Salah satu yang dibina di kawasan tersebut
ialah Istana Balai Besar yang masih kekal utuh sehingga sekarang.
No comments:
Post a Comment