Ucapan selamat atas masuknya bulan Ramadan adalah harus. Nabi SAW dahulu menyampaikan berita gembira kepada para sahabatnya atas datangnya bulan Ramadan.
Baginda memberikan semangat kepada mereka untuk bersungguh-sungguh dalam beramal soleh pada bulan tersebut.
Allah SWT berfirman: “Katakanlah, dengan kurniaan dan rahmatnya, maka dengan itu semua hendaknya mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)
Mengucapkan selamat atas datangnya bulan ini dan bergembira dengan kedatangannya menunjukkan semangat yang besar terhadap kebaikan.
Dahulu para salaf juga saling memberikan berita gembira atas datangnya bulan Ramadan. Dalam rangka meneladani Nabi SAW.
Persoalannya, mana satu ucapan betul tepat apabila menyebut Ramadan? Ramadan Kareem atau Ramadan Mubarak? Kebelakangan ini banyak yang mengucapkan Ramadan Kareem atau Karim, berbanding Ramadan Mubarak.
Mari ikuti penjelasan tentang ucapan mubarak atau karim, yang mana lebih menepati maksud sebenar.
As Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin berkata: “Jangan katakan Ramadan kariim namun yang benar adalah Ramadan mubaarak. Kerana Ramadan “bukan yang memberi” sehingga dikatakan sebagai Kariim (yang bermaksud penderma). Allah lah yang telah memberikan keutamaan di bulan ini.” [Majmu’ Fatawa 20/93, Soal 452]
Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin ditanya mengenai hukum kalimat ‘Ramadhan Kareem’ menjawab: “Hukumnya adalah bawah kalimat ini “Ramadan Karim” (terjemahnya: Ramadan itu pemurah) adalah tidak benar. Yang benar adalah “Ramadan Mubarak” (Ramadan yang diberkati) atau yang seertinya, kerana bukan Ramadan yang memberi sehingga disebut pemurah, akan tetapi Allah yang memberikan keutamaan ini.” [Majmu’ Fatawa Syaikh Al-‘Ustaimin 20/254)
Asy-Syaikh Shalih al-Fauzan ditanya: Ucapan "Ramadan Karim", bukankah Al-Karim adalah Allah Jalla wa Ala?"
Jawaban: "Ucapan tersebut tidak ada asal usulnya (dalam agama ini), ucapan mereka "Ramadan Karim" tidak ada asal usulnya.
Adapun ucapan "Ramadan Syarif (Mulia)", "Ramadan Mubarak", "Ramadan Azhim (Agung)" adalah sifat-sifat yang bersumber dari hadis.
Lafaz Azhim, Mubarak, Syarif, maka tidaklah mengapa.
Adapun lafaz "Karim" aku tidak mengetahui berasal dari mana.
Justeru, marilah kita bersama-sama menggunakan ucapan yang lebih tepat, iaitu Ramadan Mubarak atau Ramadan al-Mubarak. Ia menepati apa yang disabdakan Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Telah datang kepada kalian Ramadan, bulan mubarak (bulan yang diberkati). Allah mewajibkan atas kalian berpuasa padanya. Pintu-pintu syugra dibuka padanya. Pintu-pintu neraka ditutup. Syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat satau malam yang lebih baik dibandingkan 1000 bulan. Siapa yang dihalangi dari kebaikannya, maka sungguh ia terhalangi.” (Hadis riwayat Ahmad).
No comments:
Post a Comment