Monday, 12 April 2021

JAMBATAN GUILLEMARD PALOH RAWA - KURSIA

Jambatan Guillemard merupakan sebuah jambatan kereta api yang mana kebanyakan strukturnya dibina dengan menggunakan besi. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa di Machang ke Kursia di Tanah Merah, Kelantan.

Jambatan Guillemard mula dibina pada tahun 1920 oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Works England. Jambatan sepanjang 609.6 meter siap dibina pada bulan Julai 1924. Jambatan ini merupakan jambatan kereta api yang terpanjang di Malaysia.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV pada tahun 1925. Nama "Guillemard" diambil sempena nama Gabenor British pada masa itu, iaitu Sir Laurence Guillemard.

Tujuan utama jambatan ini dibina adalah untuk menyediakan laluan bagi kereta api dan kenderaan-kenderaan lain.

Ketika Perang Dunia Kedua, atau lebih tepat lagi pada 12 Disember 1941, jambatn ini telah dimusnahkan oleh tentera British untuk melambatkan kemaraan tentera Jepun dari utara ke selatan. 

Ia diletupkan selepas perjalanan kereta api terakhir menuju ke Singapura yang membawa warganegara British.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, jambatan kereta api ini telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada lalulintas pada 7 September 1948.

Pada 1 Febuari 1988, laluan itu hanya dikhaskan kepada kegunaan kereta api apabila jambatan baharu untuk kenderaan pelbagai guna siap dibina tidak jauh dari situ.

No comments:

Post a Comment