Wednesday, 27 June 2018

SEJAK BILA SEJARAH PENSEL BERMULA

Sejarah pensel bermula semenjak manusia tahu membuat catatan dalam bentuk lakaran dan gambar. Pensel terawal adalah jari yang diguna untuk melakar bentuk dan tanda di tanah. 

Ranting dan kayu kecil turut digunakan sebagai pensel. Batu dan benda keras pula digunakan untuk mengukir di dinding gua, di hamparan batu dan batang pokok. Seterusnya grfit karbon pula digunakan untuk memberi kesan lukisan dengan cara lebih lembut. 

Penggunaan grafit sebenarnya telah dimulai sejak zaman Yunani. Bagaimanapun, penemuan grafit karbon yang sesuai untuk pensel ditemui pada tahun 1564 di Borrowdale di kawasan utara Inggeris. 

Kelebihan grafit karbon yang ditemui berbanding grafit sebelumnya adalah mineral di dalam grafit karbon itu tidak dapat terbakar dan meninggalkan bekas berwarna hitam mengilap, serta mudah dipadamkan.

Mata pensel dibezakan menurut komposisi. Huruf B bermaksud ketebalan (boldness) yang bererti kandungan grafit karbon lebih banyak. Sementara huruf H pula memberitahu kekerasan komposisi, jadi maksudnya adalah kandungan tanah liatnya lebih banyak. 

Pensel memiliki dua sifat iaitu keras dan tebal. Maka itu sebabnya ketika menjawab peperiksaan objektif kita disarankan menggunakan pensil 2B kerana lebih halus dan tebal agar komputer dapat membaca jawaban.

Kata pencel berasal dari bahasa Latin iaitu penicillus, yang bermaksud ekor kecil. Orang pertama yang menggunakan grafit karbon dalam batang pensel adalah keluarga Faber yang tinggal di Jerman. 

Keluarga ini memulai usaha pembuatan pensel grafit pada tahun 1760. Namun sayang, usaha Faber kurang berjaya. Orang tidak suka menggunakan pensil Faber kerana mudah patah dan mengotori tangan.

Pada tahun 1895 NJ Conte menyempurnakan pensel buatan Faber. Agar pensil tidak mudah patah, grafit dicampur dengan air dan tanah liat, kemudian dibakar untuk lebih tahan.

Teknologi membuat pensel sentiasa diinovsikan. Biarpun nampak seperti tidak banyak berubah, hakikatnya kualiti dan kreativiti pembuatan sentiasa berubah. Contohnya, kini ada batang pensel menggunakan kertas surat khabar yang dikitar semula.

Pensel ini dihasil menggunakan surat khabar yang telah melalui beberapa proses tertentu. Surat khabar lama yang dikumpul akan dibersihkan sebelum ditekan dan menjalani proses eksklusif dipanggil roll on. Setelah mata atau grafit karbon pensel diletakkan, ia akan dibalut menggunakan gam berasaskan air dan kemudiannya dikeringkan.

Menariknya, biarpun ia diperbuat daripada surat khabar lama, pensel ini dapat berfungsi lebih baik berbanding pensil konvensional yang diperbuat daripada kayu. Dengan teknologi pembuatan pensel daripada kertas suratkhabar, tidak perlu lagi menebang pokok.

Kebanyakan batang pensel berbentuk bulat atau selinder panjang. Bentuk itu mudah bergolek dan kebarangkalian mata patah lebih tinggi. Maka sebab itu ada pensel yang berbentuk bersegi-segi untuk menjadikan kedudukannya stabil semasa diletak di atas meja.

Catatan pesanan:

Pada sebatang pensel terdapat mata untuk menulis. Manakala ada pensel yang di bahagian hujung terdapat pemadam. Jadi, pada bahagian sebatang pensel boleh digunakan untuk menulis dan pada sisi lain pula boleh memadam.

Diumpama sebagai pensel, jadilah pensel yang menulis kebaikan dan kebahagiaan kepada orang lain. Buatlah catatan dengan perkataan baik dan menggembirakan. Jika tidak mampu melakukan perkara itu, jadilah sebagai pemadan yang menghapuskan duka lara dan keburukan orang lain.

Ingatlah, jika tidak mampu mengembirakan orang lain, jangan buat orang lain menderita. Jika tidak ingin menolong orang lain, jangan pula kita menyusahkan orang lain. Buatlah kebaikan kepada orang lain seperti kita mengharapkan kebaikan orang lain terhadap kita.

No comments:

Post a Comment