Thursday, 22 February 2018

MEDIA SOSIAL GUGAT KEHARMONIAN RUMAH TANGGA

Penggunaan media sosial diharuskan. Banyak kebaikan diperoleh melalui kemudahan teknologi maklumat itu. Hubungan yang jauh menjadi dekat, mudah, jimat dan sesuai digunakan semua peringkat umur.

Kisah cinta media sosial sudah banyak menemukan jodoh. Pertemuan di media sosial membawa kepada alam perkahwinan.

Namun tidak kurang juga kes perceraian berpunca media sosial. Penceraian disebabkan bertemu dengan kekasih lama mahupun pasangan baru di media sosial satu perkara perkara atau punca berlaku perceraian sekarang ini.

Penggunaan media sosial mendorong kepada perbuatan curang yang mana perkenalan biasa antara lelaki dan wanita menerusi aplikasi media sosial boleh membawa kepada perhubungan mesra hingga melupakan batas pergaulan.

Memang keseriusan terhadap penceraian disebabkan oleh media sosial masih belum di tahap membimbangkan, namun tidak sepatutnya di pandang mudah.

Setiap pasangan perlu tahu fungsi sebenar media sosial itu dan bukannya dijadikan untuk perhubungan terlarang  ataupun platform meluahkan perasaan marah sehingga menyebabkan berlakunya penceraian.

Andai setiap pasangan yang bercerai itu disebabkan bertemu dengan pasangan baru di laman sosial, belum tentu pasangan itu mampu untuk bahagia.

Perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku andai setiap pasangan tahu setiap batas-batas perhubungan.

Kalau kita sudah mempunyai hubungan yang sah, kita kena tahu batas-batas hubungan. Kita tidak boleh ikut perasaan.

Jagalah batasan hubungan di media sosial. Gambar yang dikirimkan ke media sosial hendaklah sopan dan tiada mempunyai niat lain selain untuk membina persahabatan.

Justeru, individu yang telah berkahwin tidak sepatutnya menyembunyikan status perkahwinan dan sepatutnya meletakkan gambar bersama pasangan sebagai makluman bahawa mereka telah berkahwin.

Suami dan isteri perlu menjaga sensitiviti perhubungan mereka dengan memuat naik status dan gambar masing-masing yang bersesuaian dengan status menjadi suami atau isteri.

Pasangan seharusnya tahu dan faham bahawa setiap perceraian akan memberi gangguan kepada sistem diri anak-anak dan keluarga mereka termasuk soal kerjaya masing-masing.

Rasulullah SAW memberi amaran agar tidak mengambil mudah soal amanah dalam perkahwinan. Sesungguhnya rasa cinta dan keikhlasan tidak boleh dijual beli yang lahir dari hati yang murni.  Suami isteri yang ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing akan merasai kebahagiaan yang dijanjikan melalui perkahwinan dan tidak perlu mencari pasangan lain.   

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang sepertimana firman yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram.  Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

No comments:

Post a Comment