Tuesday, 22 September 2026

SEJARAH PETEMPATAN DI PULAU LAYANG-LAYANG

 
Sejarah petempatan di Pulau Layang-Layang. Bermula 21 Jun 1980, satu tugu pertama dibina. Ia menjadi sejarah bermulanya pembinaan Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Terumbu Layang-Layang, yang kemudian dikenali Pulau Layang-layang.

Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. Empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar anggota daripada Rejimen Gerak Khas (RGK) untuk menduduki Terumbu Layang-Layang sebagai tanda penguasaan secara mutlak. 

Kumpulan pertama seramai 11 anggota mendarat dan menduduki Terumbu Layang-Layang secara tetap pada awal Mei 1983, tanpa sebarang kemudahan infrastruktur.

Poncho digunakan sebagai khemah untuk tempat tinggal. Semasa air pasang, kawasan kering hanya berukuran lebih kurang 12 meter panjang kali 2 meter lebar,

Pada penghujung tahun 1989 dan memasuki tahun 1990-an keluasan Stesen Lima TLDM bertambah setelah ditambak sepenuhnya secara berperingkat menggunakan tanah, pasir, konkrit dan lain-lain yang diangkut dari Sabah, manakala modul Stesen Lima TLDM ditunda dari Semenanjung.

Pada tahun 1990-an juga kerja-kerja pembinaan infrastruktur penting seperti pembangunan penempatan anggota, bilik jana kuasa, dua lot hangar, stesen radar, menara peninjau dan persenjataan Bofor 40 mm.

Turut dibina ialah landasan terbang konkrit Stesen Lima sepanjang 1,067 meter antara tahun 1991 hingga 1995. Kesemua projek dibiayai Kerajaan Malaysia pada waktu itu sebagai suatu rangka pelan pertahanan dan industri pelancongan Malaysia.

Kemudian pada tahun 2001 landasan terbang Stesen Lima dinaik taraf dan dipanjangkan kepada 1,367 meter panjang dan 28 meter lebar. Kerja-kerja pembesaran landasan terbang dijalankan Syarikat tempatan Sin Matu Sdn. Bhd. dan siap sepenuhnya pada tahun 2003.

Nombor pengklasifasian landasan terbang adalah 032RBXU, menunjukkan landasan terbang adalah sederhana kukuh pembuatannya terhadap pengolahan maksimum tekanan tayar pesawat.

Selain untuk tujuan pertahanan, Stesen Lima kini menjadi lokasi tumpuan pelancong atau kawasan ekopelancongan yang semakin mendapat sambutan pelancong dari dalam negara mahupun luar negara.



No comments:

Post a Comment