Sunday 19 July 2020

PULAU AMAN MENGGAMIT MINAT PEMANCING

Pulau Pinang mempunyai banyak tempat-tempat menarik dan yang terkenal untuk dikunjungi. Malah ada tempat yang masih tersembunyi dan jarang diketahui umum. Salah satunya ialah sebuah pulau dipanggil Pulau Aman.

Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, Pulau Aman mula diterokai oleh penduduk Kedah pada tahun 1783 dan menjadi tempat perlindungan selepas tercetusnya peperangan di antara Kedah dan Siam.

Sekitar tahun 1940-an hingga 1960-an, terdapat sekitar 1000 orang penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum tinggal di sini. Namun, penghijrahan besar-besaran ke tanah besar telah berlaku pada tahun 1960-an menyebabkan jumlah penduduk semakin berkurangan.

Secara amnya, Pulau Aman merupakan salah satu pulau kecil paling hampir dengan Pulau Pinang selain daripada Pulau Jerejak dan Pulau Gedung. Namun, Pulau Aman merupakan satu-satunya pulau yang mempunyai penghuni. Sebanyak 95 peratus kawasan Pulau Aman yang berkeluasan 115.2 hektar masih diliputi hutan.

Pulau Aman terletak 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai dan berada dalam daerah Seberang Perai Selatan. Banyak tarikan di Pulau Aman. Selain pemandangan dan cara hidup kampung nelayan Melayu tradiional, tarikan lain di sini mestilah makanan laut yang segar dan mee udang.

Selain itu bagi yang gilakan aktiviti memancing di sini memang banyak tempat untuk memancing. Tarikan lain yang ada ialah Telaga Emas, Gua Perompak, kubur lama, kawasan rekreasi, ternakan ikan sangkar, ternakan  kerang, ladang rusa dan lain-lain lagi.

Bagaimana cara untuk sampai ke Pulau Aman? Sekiranya anda melalui lebuh raya, keluar ikut tol Bukit Tambun dan terus memandu ke Stadium Batu Kawan dan jalan terus sampai ke Jeti Batu Maung.

Untuk ke Pulau Aman harus menaiki  perkhidmatan feri / bot. Operasi feri sejam sekali. Namun, jika ramai penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut, terutama pada hujung minggu atau hari cuti, kekerapan perkhidmatan ditingkatkan sekali bagi setiap setengah jam. Masa menaiki feri hanya dalam masa 5 hingga 10 minit sahaja.

Kemudahan awam di sini memang tersedia lengkap. Bagi pengunjung ingin bermalam, chalet atau perkhidmatan inap desa ada disediakan oleh penduduk pulau.  

Pulau Aman, sungguh sesuai dengan nama yang diberi memang rasa aman dan damai. Sekiranya anda mencari tempat untuk menghilangkan stress dan merasai makanan laut yang segar, Pulau Aman sepatutnya dijadikan lokasi pilihan.

No comments:

Post a Comment