Masalah harga petrolium dunia yang
tidak stabil antara lain berpunca amalan spekulasi dan manipulasi yang
diamalkan para pembekal dan peniaga. Sikap tamak pihak yang terlibat dalam
uruniaga petrolium itu memberi kesan ekonomi yang besar kepada seluruh
dunia.
Nilai-nilai kemanusiaan dan tolong
menolong tidak dipentingkan dalam sistem ekonomi kapitalis. Masyarakat global
berbangga dengan sistem kapitalis yang didakwa sistem terbaik yang membangunkan
ekonomi mereka. Sedangkan, sistem yang berteraskan nafsu itulah yang telah
melahirkan masyarakat mementingkan kebendaan dan rosak akhlak.
Manakala sistem ekonomi sosialis
menetapkan urusan perniagaan sebagai memenuhi matlamat kesamarataan dalam
masyarakat. Semua urusan perniagaan berada dalam kawalan tangan pihak
pemerintah.
Dalam sistem sosialis, peniaga
sekadar dianggap menjadi agen kepada pemerintah dalam menyediakan keperluan
rakyat. Sistem ini diamalkan di negara yang mengamalkan fahaman komunis.
Bagaimanapun, semakin banyak negara komunis telah mengamalkan pasaran terbuka berasaskan
kapitalis.
Sebenarnya, urusan perniagaan bukan
terhad membeli dan menjual barangan semata-mata. Bahkan, perniagaan juga
meliputi penyediaan perkhidmataan, sewaan, pembuatan, pembinaan dan
sebagainya.
Islam membenarkan peniaga mendapat keuntungan
di atas perkhidmatan diberikan kepada pengguna. Peniaga memperuntukan modal,
kepakaran, fikiran, tenaga dan masa untuk tujuan itu. Di atas perkhidmatan itu
peniaga berhak mendapat upah yang dipanggil untung.
Sesungguhnya antara pembeli dan peniaga
saling memerlukan. Tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga.
Justeru, antara kedua-dua pihak perlu saling menghormati, menjaga hubungan baik
dan memahami keperluan antara satu sama lain.
Urusniaga perlu berjalan dalam
suasana harmoni, selesa, selamat, berterusan dan memenuhi keperluan. Sebaliknya,
sikap rakus dan tamak, menyebabkan urusniaga dipenuhi dengan tipu daya dan
penindasan.
Dalam hal ini bukan sahaja pengguna
menjadi mangsa, bahkan peniaga sendiri terdedah kepada kerugian. Pengguna juga
kadang kala bijak menipu peniaga.
No comments:
Post a Comment