Umat Islam dianjurkan selalu
berdoa dan berzikir kepada Allah dalam apa jua keadaan demi mendapatkan rahmat
dan keberkatan yang berterusan di dunia mahupun akhirat kelak. Salah satu
tujuannya adalah untuk memastikan manusia itu dapat hidup dengan bahagia,
harmoni dan diredhai oleh Allah.
Selain itu ianya bertujuan untuk
mengelakkan terjadinya gangguan makhluk-makhluk dari kalangan manusia, jin dan
syaitan. Berdoa dan berzikir adalah antara perkara yang termasuk dalam
cara-cara mengingati Allah sama ada ketika manusia itu senang, susah, berdiri,
duduk, berjalan, bekerja, berehat, bangun mahupun ketika mahu tidur sekalipun.
Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan
Bukhari dan Muslim bermaksud: "Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah
bagaikan kamu hendak solat, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah
doa ini (seperti maksud doa yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan doa
itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu sebelum tidur)."
Dalam sebuah hadis lain pula
bermaksud: "Daripada Huzaifah katanya: Nabi SAW apabila berbaring di
tempat tidurnya lalu baginda berdoa: (Maksudnya); "Dengan nama-Mu Ya
Allah, aku hidup dan aku mati."
Dalam riwayat hadis yang lain ada
menerangkan yang bermaksud: "Daripada Aisyah katanya: Rasulullah SAW
apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat
kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca Surah Al-Ikhlas,
Surah Al-Falak dan Surah An-Naas, kemudian baginda menyapukan tangannya ke
seluruh badan yang dapat disapunya dari kepala dan mukanya dan bahagian depan
daripada tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali." (Hadis
Riwayat Tirmizi).
Rasulullah SAW sebelum hendak
tidur juga pernah membaca doa yang bermaksud: "Ya Allah, Tuhan langit dan
bumi. Tuhan Arasy Yang Maha Agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Yang
membelah biji dan benih, Yang menurunkan (Kitab) Taurat, Injil dan Al-Furqan
(Al-Quran). Aku berlindung kepada Mu daripada kejahatan setiap yang memiliki
kejahatan, di mana Engkaulah yang memegang setiap yang memiliki kejahatan, di
mana Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya. Engkaulah yang pertama, maka tidak
ada sesuatu pun sebelum Mu. Dan Engkaulah yang terakhir, tidak ada sesuatu pun
sesudahMu. Engkaulah yang zahir, maka tidak ada sesuatu pun diatas Mu. Engkaulah
yang batin, tidak ada sesuatu pun dibawah Mu. Tunaikanlah hutang kami dan
jauhilah kami dari kemiskinan." (Riwayat Muslim)
Nabi Muhammad juga menyarankan
umat Muslim menunaikan solat sunat witir sebelum tidur, sebagaimana yang
tercatat dalam hadis berikut yang bermaksud: "Rasulullah SAW juga telah
mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering menganggu manusia ketika tidur. Oleh
itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan Solat Witir setiap kali
sebelum tidur". (Hadis Riwayat Bukhari).
Terdapat juga hadis bermaksud:
"Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan
tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di
antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang
pertama. Apabila ia berwuduk maka akan terbuka ikatan kedua. Apabila dia solat
, maka akan terlepaslah semua ikatannya. Ia akan merasa sesuatu kesegaran dan
ketenangan hati, jika tidak ia akan merasa malas dan kekusutan hati".
(Hadis Riwayat Bukhari)
Jika Rasulullah terjaga dari
tidur di tengah malam, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangannya,
sebelum baginda tidur semula. Dan setiap kali Rasulullah bangun selepas selesai
waktu tidurnya, baginda akan mengucap syukur dengan membaca: "Segala puji
bagi Allah yang telah menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami dan
kepadaNya lah tempat kembali".
No comments:
Post a Comment